KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 – Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, menggesa Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap lonjakan kos Projek Lebuhraya Pan Borneo yang kini didakwa mencecah sehingga RM24 bilion.
Beliau menyifatkan kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah itu yang meminta merujuk Laporan Ketua Audit Negara sebagai cubaan dangkal bagi mengalihkan perhatian daripada liabiliti sebenar dasar pentadbiran era beliau.
Menurut Zulkarnain, Shafie sendiri telah mengesahkan di Parlimen bahawa beliau menasihati Menteri Kewangan terdahulu untuk menamatkan model Rakan Pelaksana Projek (PDP), sekali gus meruntuhkan struktur kawal selia dan pengawasan projek secara melulu.
”Malah, kenyataan terbaru Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mempersoalkan kenapa duit RM10.5 bilion sudah habis tetapi jalan belum siap sebenarnya menyokong hujah saya! Ini bukti nyata keputusan dasar Shafie Apdal menamatkan PDP dahulu telah merosakkan sistem kawalan kewangan,” tegas beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, penukaran sistem PDP kepada kaedah konvensional Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melonggarkan pemantauan sehingga menyebabkan lebih 77,000 data maklumat projek dilaporkan hilang.
Zulkarnain menegaskan, retorik penjimatan kos yang dilaungkan ketika penamatan PDP pada 2019 hanyalah ilusi apabila anggaran awal RM12.8 bilion hingga RM14.2 bilion kini membengkak antara RM18.394 bilion sehingga RM24.889 bilion untuk Fasa 1.
Langkah melupuskan PDP memaksa baki pakej melalui proses audit kos berpanjangan dan tender semula, yang akhirnya mengheret projek ke fasa inflasi kos bahan binaan pasca-pandemik.
Selain itu, kegagalan integrasi Sistem Maklumat Projek didedahkan menyebabkan 77,299 fail pemantauan lenyap, mengakibatkan agensi pembayar gagal mengesahkan kemajuan fizikal sebenar di tapak binaan.
Mengenai perbelanjaan RM10.547 bilion yang dibangkitkan PAC, Zulkarnain menjelaskan wang rakyat itu lebur untuk menampung liabiliti kelewatan era Warisan dan bukannya bagi membina struktur jalan baharu.
Ia merangkumi Arahan Perubahan Kerja (VO) di luar kelulusan berjumlah RM513.99 juta, pampasan tanah tertunggak sebanyak RM144 juta, serta liabiliti lanjutan masa berikutan tapak projek yang terbengkalai.
Justeru, Zulkarnain mendesak PAC bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Shafie secara rasmi bagi memberi penjelasan berhubung kegagalan dasar tersebut demi keadilan rakyat Sabah yang kini menanggung padah kerosakan jalan raya.
.#PanBorneoSabah #BeritaAAC #ShafieApdal #IsuSabah #G57