PUTRAJAYA, 24 Oktober 2026 — Pertubuhan Warisan Megat Raja Nusantara Malaysia telah tampil membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.
Pengasas pertubuhan berkenaan, YM Megat Hadzlie Bin Adlan memaklumkan bahawa laporan tersebut dibuat susulan penularan satu kandungan video di aplikasi TikTok yang memaparkan kenyataan Rafizi berhubung dakwaan kewujudan apa yang disifatkan sebagai ‘mafia korporat’.
Menurut beliau, video yang ditontonnya itu turut mengaitkan isu berkenaan dengan hal ehwal dalaman negara serta beberapa pihak berkepentingan.
Antara nama yang didakwa turut dikaitkan di dalam video terbabit termasuklah individu berprofil tinggi seperti menteri, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, dan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.
Bukan itu sahaja, video berkenaan turut didakwa membuat pertuduhan bahawa kumpulan mafia korporat tersebut mempunyai pengaruh ke atas keputusan pihak kerajaan untuk membuat pendakwaan terhadap Datuk Seri Suhaily
YTM Megat menegaskan tuduhan yang dilemparkan itu secara tidak langsung memberi gambaran serta tohmahan bahawa Peguam Negara turut berkhidmat atau bekerja untuk kumpulan mafia tersebut berikutan arahan pendakwaan yang dikeluarkan.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar pihak berkuasa segera menjalankan siasatan terperinci terhadap Rafizi Ramli berhubung kesahihan fakta-fakta yang dibangkitkan.
Langkah tersebut disifatkan penting bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan serta keresahan dalam kalangan masyarakat dan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Mewakili pihak badan bukan kerajaan (NGO), beliau menyeru agar semua pihak yang terlibat disiasat secara telus demi memastikan tiada mana-mana pihak atau rakyat yang teraniaya dan dirugikan akibat dakwaan tersebut.
#BeritaAAC #RafiziRamli #MafiaKorporat #PolisDirajaMalaysia #IsuSemasaMalaysia