Pengacara tersohor tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi, akhirnya tampil meleraikan tanda tanya orang ramai berhubung ketidakhadirannya ke majlis perkahwinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Aznil, atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil, menjelaskan bahawa ketiadaannya di majlis berkenaan adalah disebabkan kekangan masa serta komitmen lain yang telah dijadualkan terlebih dahulu.
Menurut Pak Nil, wakil kepada Syed Saddiq sendiri telah menghubunginya lebih awal untuk memaklumkan mengenai majlis tersebut sebelum tarikh pernikahan dan persandingan itu diumumkan kepada umum.
”Pak Nil tak berkelapangan untuk hadir dan Pak Nil dah bagi tahu awal. Wakil daripada Syed Saddiq datang jumpa Pak Nil sebelum kau orang tahu semua tarikh dia orang nak kahwin, saya dah tahu dah,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa jadualnya bertembung dengan urusan peribadi pada kedua-dua acara tersebut, sekali gus membatalkan hasratnya untuk hadir meraikan pasangan pengantin.
Malah, beliau mendedahkan bahawa dirinya sebelum ini turut dipertimbangkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara bagi majlis perkahwinan gilang-gemilang itu.
”Kalau nak tanya sebenarnya, saya patut jadi ‘pancing’ juga untuk menjadi hos majlis perkahwinan itu, tapi saya tak dapat buat sebab saya ada majlis saya sendiri,” jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai spekulasi liar yang timbul, Pak Nil menegaskan bahawa masyarakat luar tidak wajar mempersoalkan kehadiran mana-mana tetamu kerana setiap individu mempunyai kekangan serta urusan masing-masing.
Bagi Pak Nil, fokus utama sepatutnya diberikan kepada mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan rumah tangga yang baru dibina oleh pasangan tersebut.
Tambahnya lagi, beliau sendiri telah berhubung terus dengan Syed Saddiq secara peribadi bagi menyampaikan doa restu serta ucapan tahniah atas perkahwinan tersebut.
Pak Nil turut menyelar tindakan segelintir pihak yang cuba memperbesarkan perkara itu sedangkan tuan rumah dan pihak pengantin sendiri langsung tidak menjadikan ketiadaannya sebagai satu isu.
”Pengantin tak buka mulut, jadi yang tiada kena-mengena dengan keluarga pengantin dan pengantin ini, kenapa berbunyi?” soalnya tegas.
#BeritaAAC #PakNil #SyedSaddiq #ArtisMalaysia #PanasSensasi