MELAKA, 24 Oktober 2026 – Barisan Nasional (BN) Melaka mengumumkan senarai calon bagi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.
Pengerusi BN Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, senarai tersebut menampilkan gabungan calon berpengalaman dan lapan muka baharu yang telah dipersetujui serta diberi amanah untuk menggalas tanggungjawab.
Antara muka baharu yang diumumkan termasuk Datuk Haji Abdul Hakim Wahid bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah.
Bagi Parlimen Alor Gajah pula, tiga calon baharu dipertaruhkan iaitu Ahmad Nazril Abdul Aziz di DUN Rembia, Nadarajah Selapan (Gadek), dan Datuk Mustafa Musa (Durian Tunggal).
Sementara itu, bagi Parlimen Tangga Batu menyaksikan perubahan strategi apabila Datuk Seri Utama Rais Yasin beralih kerusi dari DUN Paya Rumput ke DUN Sungai Udang, manakala penyandang sedia ada seperti Datuk Kalsom Noordin (Pantai Kundor) dan Datuk Wira Lim Ban Hong (Klebang) dikekalkan.
Di Parlimen Hang Tuah Jaya, dua calon muka baharu diketengahkan iaitu Puan Siti Eishah Mahmud di DUN Pengkalan Batu serta Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali di DUN Ayer Molek.
Seterusnya bagi Parlimen Jasin, dua lagi wajah baharu diberi kepercayaan menggalas mandat BN membabitkan Datuk Azman Abdullah di DUN Serkam dan Jazlee Pit di DUN Sungai Rambai.
Ab Rauf menjelaskan bahawa pemilihan calon-calon baharu ini bukan bermakna BN menggugurkan penyandang lama, sebaliknya langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pembaharuan serta kesinambungan khidmat terbaik kepada rakyat berikutan pembubaran DUN.
Menyentuh mengenai agihan rakan komponen, beliau memaklumkan MCA dan MIC masing-masing kekal bertanding di kerusi tradisi, di samping memperuntukkan tujuh kerusi kepada rakan strategik melalui persefahaman di peringkat kepimpinan tertinggi.
Beliau turut menegaskan senarai 21 calon yang diumumkan itu adalah muktamad dan tidak akan mengalami sebarang perubahan menjelang hari penamaan calon.
Dalam pada itu, Ab Rauf menegaskan BN Melaka bertekad membawa kempen berhemah dengan menolak budaya fitnah, kebencian, mahupun politik hasutan.
Tegas beliau, rakyat Melaka sudah matang dan mampu menilai prestasi khidmat kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding bermain sentimen politik kotor.
Mengenai manifesto pilihan raya BN Melaka, beliau menyatakan ia merangkumi aspek ekonomi, pembangunan sosioekonomi, kebajikan, dan sosiopolitik yang akan dilancarkan kira-kira seminggu selepas hari penamaan calon.
#BeritaAAC #PRNMelaka #BNMelaka #AbRaufYusoh #PolitikMelaka