MELAKA – Peluang calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N18 Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali untuk bergelar Yang Berhormat (YB) dilihat semakin cerah susulan maklum balas positif yang diterima daripada masyarakat setempat.
Perkara itu dikupas oleh Penganalisis Politik, Datuk Dr. Baharudin Aziz, yang berkongsi hasil pemerhatian dan tinjauan turun padang beliau di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan DUN berkenaan baru-baru ini.
Menurut Dr. Bahar, rata-rata pengundi dan penduduk tempatan di Ayer Molek memberikan reaksi ‘thumbs up’ atau tanda sokongan penuh terhadap kewibawaan calon N18 tersebut.
Beliau menegaskan bahawa pandangan itu bukan sekadar penilaian peribadi, sebaliknya merupakan suara dan sentimen sebenar rakyat Melaka yang bermastautin di Ayer Molek.
Jelasnya, sokongan padu dan rasa disenangi pengundi terhadap calon berkenaan bersandarkan kepada formula kelebihan ‘3P’, iaitu Personaliti, Prihatin, dan Perancangan.
Mengulas faktor pertama iaitu Personaliti, Dr. Bahar menyifatkan calon terbabit memiliki perwatakan tersendiri yang disenangi ramai, mudah didekati, serta sentiasa mesra mendampingi rakyat tanpa rasa kekok.
Bagi faktor kedua iaitu Prihatin, calon N18 itu terbukti kerap turun padang sendiri untuk meninjau nasib penduduk, menziarahi golongan yang kurang sihat, serta menyalurkan bantuan segera seperti kerusi roda, lampin pakai buang, dan sokongan kewangan.
Menyentuh faktor ketiga iaitu Perancangan, latar belakang pendidikan tinggi serta pengalaman luas yang dimiliki calon membolehkannya merangka pelan pembangunan yang berwawasan dan realistik untuk kawasan tersebut.
Antara perancangan strategik yang diketengahkan adalah inisiatif pembangunan semula Ayer Molek atau Ayer Molek Redevelopment Initiative (AMRI) demi memacu sosioekonomi penduduk.
Dr. Bahar merumuskan, sekiranya ketiga-tiga elemen ‘3P’ ini terus konsisten diterjemahkan kepada rakyat, peluang calon berkenaan untuk memenangi hati pengundi adalah amat cerah dan “memang molek untuk Ayer Molek”.
#AyerMolek #PolitikMelaka #PRNMelaka #BeritaAAC #CalonN18