KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 – Cara Perdana Menteri menjawab persoalan berhubung kerugian dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah hampir RM200 juta di Dewan Rakyat semalam disifatkan seolah-olah cuba menormalisasikan kegagalan pelaburan wang amanah pesara.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar mendakwa penjelasan yang mengaitkan kerugian projek eFishery di Indonesia itu sekadar mewakili 2.4 peratus daripada keseluruhan keuntungan RM8 bilion KWAP adalah cubaan memperkecilkan impak kehilangan ratusan juta ringgit.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang mengaitkan penglibatan syarikat gergasi antarabangsa lain seperti Temasek Holdings dan SoftBank demi mewajarkan kerugian besar yang ditanggung institusi berkenaan.
Menurutnya, hujah tersebut mencerminkan kaedah mempertahankan kesilapan pelaburan dan cuba mengaburi mata rakyat daripada melihat implikasi sebenar terhadap dana persaraan negara.
Gulam menyifatkan jawapan yang diberikan di Parlimen itu mempunyai unsur ketidakikhlasan dan ketiadaan kejujuran yang nyata dalam menangani isu ketelusan kewangan.
”Ianya umpama seekor semut hitam berada di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud, tetapi digambarkan semut itu tiada untuk dilihat,” tegas beliau dalam satu kenyataan media.
Beliau menegaskan, rakyat khususnya golongan pesara kerajaan wajar diberi ruang untuk menilai sendiri kewajaran jawapan tersebut sama ada mereka boleh menghalalkan kerugian RM200 juta yang melibatkan wang simpanan hari tua mereka.
Sebagai perbandingan etika kepimpinan, beliau merujuk kepada amalan di Jepun yang mengutamakan konsep “hansei” atau refleksi diri secara mendalam apabila berdepan kesilapan mahupun kegagalan pelaburan.
Jelasnya, budaya kepimpinan berintegriti di Jepun menolak perbuatan mencari alasan mahupun menuding jari kepada entiti luar, sebaliknya menuntut keberanian mengakui kesilapan serta mengambil langkah proaktif memperbaikinya.
Gulam melahirkan rasa kesal kerana budaya mempertahankan kerugian dan melepaskan tanggungjawab ini berlaku di bawah pentadbiran era Malaysia Madani.
Beliau menyimpulkan bahawa amalan menormalisasikan kerugian dana awam hanya akan terus menutup kesalahan hakiki dalam pengurusan dan tatakelola kewangan negara.
#DanaKWAP #BeritaAAC #IsuPesara #ParlimenMalaysia #GulamMuszaffar