MELAKA, 31 Oktober 2026 – Latar belakang dan rekod pencapaian calon yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya sering menjadi penanda aras utama kepada pengundi dalam menentukan masa depan kawasan mereka.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N18 Ayer Molek, perhatian kini terarah kepada kelebihan luar biasa yang dimiliki oleh calonnya, Datuk Mohd Ridzwan Mohd Ali.
Penganalisis Politik, Datuk Dr Baharuddin Aziz menyifatkan kemunculan calon tersebut membawa dimensi baharu yang cukup meyakinkan, khususnya apabila menyentuh elemen penting dalam kepimpinan.
Menurut beliau, sekiranya sebelum ini formula kepimpinan sering dikaitkan dengan ‘3P’, kemunculan profil rasmi calon pada hari penamaan calon telah melengkapkan satu lagi ‘P’ yang amat kritikal, iaitu Pengalaman.
Beliau mengakui amat terpegun melihat profil dan rekod perkhidmatan Datuk Mohd Ridzwan yang disifatkan sangat mantap dan merangkumi pelbagai sektor penting.
”Pengalaman Datuk Mohd Ridzwan amat luas. Beliau bukan sahaja pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara, malah mempunyai latar belakang pendidikan tinggi serta kerjaya profesional dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik,” ujar beliau.
Selain itu, rekod kepimpinannya dalam badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia turut menyerlah menerusi peranannya sebagai Presiden Gerakan Belia 4B, Pengengerusi Yayasan DMDI, serta Pengengerusi World Youth Foundation.
Pengalaman tersebut dianggap sebagai aset penting yang berupaya melonjakkan lagi agenda pembangunan sosioekonomi serta kemajuan infrastruktur di seluruh kawasan N18 Ayer Molek.
Menyentuh soal kredibiliti, Datuk Dr Baharuddin menegaskan bahawa pengundi hari ini meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada calon yang telah terbukti mempunyai rekod kerja yang kukuh dan matang.
Mengulas mengenai saingan daripada parti lawan, beliau menyuarakan sedikit kebimbangan terhadap kehadiran calon muda yang belum mempunyai pengalaman mencukupi dalam pentadbiran dan khidmat awam.
Bagi beliau, kepimpinan bukan sekadar berbekalkan status orang muda, sebaliknya memerlukan kepakaran teknikal serta pendedahan luas bagi menguruskan isu-isu rakyat yang rencam.
Kelebihan Datuk Mohd Ridzwan turut diperkukuh dengan pendedahan di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang tadbir urus Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta pengurusan ekonomi moden.
Justeru, dengan pakej pengalaman yang menyeluruh di dalam dan luar negara, calon N18 Ayer Molek ini disifatkan sebagai pilihan yang paling serasi dan ‘molek’ untuk memacu masa depan penduduk setempat.
#AyerMolek #PRN #PolitikMalaysia #BeritaAAC #AnalisisPolitik