KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Kredibiliti dan kepimpinan Datuk Bandar Kuala Lumpur dipersoal hebat susulan kegagalan menyelesaikan rungutan ribuan warga kota, selain didakwa bersikap ‘lepas tangan’ ketika berdepan masalah rakyat.
Wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Pergerakan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussen Zulkarai mendedahkan bahawa pihaknya bersama gabungan persatuan penduduk yang mewakili ratusan ribu warga ibu kota berasa sangat kecewa dengan kepimpinan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut beliau, antara kekecewaan utama timbul apabila keputusan yang dicapai dalam sesi mesyuarat bersama Datuk Bandar tidak dilaksanakan sebagaimana yang dipersetujui.
Lebih mengecewakan, Datuk Bandar didakwa bertindak menyindir pengadu dengan menyoal kembali sama ada semua perkara perlu diselesaikan sendiri oleh beliau semasa aduan berkenaan kerosakan kemudahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang dibawa kepadanya.
”Saya terima soalan daripada Datuk Bandar sendiri yang bertanya, ‘Semua Datuk Bandar nak buat sendiri?’ Dia suruh saya jawab soalan itu, sedangkan sebagai pemimpin sepatutnya dia faham tanggungjawab memikul aduan rakyat sebagaimana dicontohkan Perdana Menteri,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan ketakutan DBKL terhadap tindakan undang-undang oleh sebuah syarikat penyelenggaraan lif di PPR Desa Rejang, sehingga gagal menamatkan kontrak syarikat bermasalah tersebut biarpun isu berkenaan sudah berlarutan lama dan pernah disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri.
Mengulas mengenai peranan Datuk Bandar, Hussein mendakwa pihak pentadbiran kini seolah-olah ‘mati akal’ dan hanya bergerak sekiranya terdapat arahan terus daripada Perdana Menteri (PMX), tanpa mempunyai visi atau inisiatif tersendiri untuk kemajuan ibu kota.
Selain isu lif, beliau turut mendedahkan rungutan berhubung pembinaan deretan kios ‘Lestari Niaga’ di hadapan PPR Pudu Ulu yang disifatkan berbahaya serta tidak munasabah sehingga boleh mengancam keselamatan peniaga dan pengguna jalan raya.
Hussein menegaskan pihaknya bakal mengemukakan aduan rasmi secara terus kepada Perdana Menteri berhubung prestasi Datuk Bandar dan bersedia untuk bersemuka secara terbuka bersama media bagi membongkar segala kepincangan yang berlaku.
Beliau turut mencadangkan agar jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur pada masa hadapan dilantik dalam kalangan individu yang benar-benar membesar serta memahami selok-belok pentadbiran warga DBKL bagi memastikan pengurusan bandar raya berjalan lebih cekap dan prihatin.
#BeritaAAC #DatukBandarKL #DBKL #SuaraRakyat #PMX