“Jangan sentiasa harapkan bantuan kerajaan.”
Kenyataan dicetuskan Ketua Pegawai Eksekutif Agenda Suria Communication (ASC), Jaggarao Simancha itu dipetik semula oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran menyifatkan ia sebagai satu tanda positif yang mencerminkan sikap matang serta semangat berdikari usahawan tempatan.
Meskipun menyokong dorongan agar peniaga berani berdikari, Yuneswaran menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menyediakan ruang dan ekosistem perniagaan yang kukuh untuk disuntik ke dalam pertumbuhan sosioekonomi masyarakat.
Antara sokongan yang boleh dimanfaatkan termasuklah peruntukan RM150 juta di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), RM200 juta bagi pembangunan usahawan wanita, serta pelbagai program latihan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Untuk rekod ini, ASC melakar sejarah tersendiri menerusi penganjuran 24th Deepavali Carnival 2026 kali ini.
Sejarah asalnya bermula di Brickfields, Kuala Lumpur dengan kira-kira 50 booth pada tahun 2002, karnival ini kini berkembang pesat hingga berpindah ke lokasi yang lebih strategik di Bukit Jalil, di Puchong, Selangor.
Karnival Deepavali ini disifatkan terbesar di Malaysia yang menghimpunkan lebih 400 booth dengan kepelbagaian produk daripada barangan perniagaan kecil hinggalah produk bernilai tinggi.
Mengulas mengenai penganjuran tersebut, Yuneswaran turut memuji kecekapan pengurusan tapak serta kemudahan tempat letak kereta yang teratur di Bukit Jalil, di samping peranannya sebagai ejen penyatuan nasional.
“Deepavali bukan sahaja perayaan penting buat komuniti India, malah sebahagian daripada identiti majmuk Malaysia.
“Kehadiran pelbagai kaum Melayu, India, hinggalah pelawat luar negara membuktikan kebudayaan kita amat kaya dengan kepelbagaian,” katanya ketika ditemui di karnival, pada Selasa.
Karnival ini turut mempromosikan warisan tradisi seperti pakaian, barang kemas, kraf tangan, kulinari, serta persembahan muzik dan tarian kebudayaan.
Selain memberi pendedahan kepada generasi muda untuk menghayati warisan sendiri, ia turut menjadi jambatan interaksi merentas budaya yang sejajar dengan misi Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkukuh keharmonian serta kejelekitan sosial masyarakat.