KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Pertubuhan Pergerakan Masyarakat Kuala Lumpur menyelar integriti pihak penguat kuasa dan agensi berkaitan susulan penemuan pusat penyembelihan ayam yang kotor serta meragukan di Puchong baru-baru ini.
Pengerusi Pertubuhan itu, Hussen Zulkarai mendakwa operasi tempat penyembelihan yang menjijikkan itu membuktikan kelemahan ketara dalam tindakan penguatkuasaan.
Isu berkenaan tular selepas pusat tersebut dikesan beroperasi dalam keadaan kotor dan didakwa mengenakan renjatan elektrik terhadap ayam sebelum disembelih.
Menurut Hussen, situasi sedemikian tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak berkuasa, termasuk majlis agama dan kementerian terbabit, menjalankan amanah serta pemeriksaan secara berkala.
Beliau turut mendakwa segelintir penguat kuasa bersikap culas dan hanya mengambil gaji tanpa turun ke lapangan membuat pemantauan tegas.
Bagi memastikan pematuhan standard kebersihan dan hukum syarak, NGO itu mencadangkan pemasangan kira-kira 10 kamera litar tertutup (CCTV) di setiap premis penyembelihan.
Pemasangan CCTV itu disarankan menghubungkan siaran secara terus ke pihak kementerian atau jawatankuasa masjid di zon berhampiran bagi tujuan pemantauan berterusan.
Hussen menegaskan, segala kos pemasangan dan bayaran bulanan pemantauan CCTV bernilai ribuan ringgit wajar ditanggung sepenuhnya oleh pemilik pusat sembelihan.
Selain isu sembelihan ayam, beliau turut menyentuh aspek penyediaan makanan di restoran mamak yang didakwa kerap menggunakan tenaga kerja warga asing bukan Islam.
Beliau menganggarkan lebih 50 peratus premis makanan seumpamanya menggaji pekerja asing bukan Islam sebagai tukang masak dan pengendali bahan mentah seperti ayam dan daging.
Keadaan itu menimbulkan kegusaran dari sudut status kebersihan serta kefahaman hukum halal dan haram dalam kalangan pengendali makanan tersebut.
Sehubungan itu, umat Islam digesa agar lebih berhati-hati dan prihatin dalam memilih premis makanan bagi menjamin status kehalalan hidangan harian.
#BeritaAAC #IsuHalal #PusatSembelihan #RestoranMamak #Penguatkuasa