KUALA LUMPUR, 6 November 2026 — Urusan pembayaran denda membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya selesai susulan keprihatinan dan sokongan padu berterusan daripada pelbagai pihak.
Perkara itu dizahirkan oleh Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr. Armand Azha Hj Abu Hanifah menerusi satu kenyataan rasmi yang menzahirkan rasa syukur atas kejayaan melunaskan beban kewangan berkenaan.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Najib.
Armand Azha turut memberikan penghargaan khusus kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan parti di semua peringkat yang bertungkus-lumus menjayakan usaha tersebut.
Menurutnya, penglibatan daripada peringkat Pusat, Negeri, Bahagian, Cawangan sehinggalah ke akar umbi dan NGO membuktikan kesepakatan jitu yang digembleng demi seorang sahabat seperjuangan.
Tindakan itu disifatkan sebagai manifestasi jelas terhadap prinsip dan amalan semangat setiakawan yang menjadi teras perjuangan UMNO selama ini.
Beliau menegaskan, perbezaan pandangan mahupun kedudukan tidak menghalang ahli parti daripada terus berdiri teguh membantu apabila rakan seperjuangan diuji dengan kesukaran.
Bagi Armand Azha, UMNO bukan sekadar sebuah wadah politik biasa, sebaliknya sebuah institusi kekeluargaan yang dibina atas asas persaudaraan, kesetiaan dan pengorbanan bersama.
Nilai kebersamaan itu menjadi tunjang utama parti yang tidak sesekali meninggalkan sahabat ketika berdepan ujian mahupun melupakan jasa yang pernah ditabur.
Solidariti yang dipamerkan dalam menyelesaikan urusan denda berkenaan menjadi bukti bahawa roh kesatuan parti keramat itu kekal utuh serta relevan mendepani cabaran semasa.
Beliau mendoakan agar Allah SWT membalas segala jasa baik para penyumbang serta mengurniakan kesihatan, ketabahan dan kekuatan berterusan kepada Najib dan keluarganya.
Kenyataan tersebut diakhiri dengan seruan agar seluruh ahli terus berpegang kepada prinsip penyatuan parti, menjunjung nilai setiakawan, serta meneruskan agenda perjuangan untuk rakyat.
#NajibRazak #UMNOBersatu #ArmandAzha #SetiakawanUMNO #MediaAAC