KUALA LUMPUR, 6 November 2026 – Tabung kutipan khas untuk membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini telah ditutup secara rasmi berikutan jumlah sasaran dana telah pun mencukupi.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
”Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutamanya ahli-ahli UMNO, rakan-rakan beliau serta mereka yang bersimpati terhadap Datuk Seri Najib,” kata Zahid.
Beliau menambah, penutupan tabung tersebut telah dimaklumkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas dana terkumpul mencapai tahap yang diperlukan.
Mengulas mengenai situasi semasa Najib, Ahmad Zahid menyuarakan harapan agar bekas Presiden UMNO itu dapat kembali bersama keluarga tersayang.
Beliau menegaskan perkara itu wajar direalisasikan walaupun Najib perlu menghabiskan baki tempoh hukuman menerusi kaedah tahanan di rumah.
Menyentuh pelbagai spekulasi dan andaian politik yang timbul, Ahmad Zahid meminta semua pihak agar menghentikan sebarang tafsiran yang boleh mengelirukan orang ramai.
”Bagi kami kepimpinan dan ahli-ahli UMNO, bersyukur kepada Allah SWT kerana Lembaga Pengampunan telah pun menetapkan syarat-syarat dan syarat itu telah dipenuhi,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan para pemerhati dan penganalisis politik bahawa pemberian pengampunan bukanlah satu perkara baharu dalam sejarah politik negara.
Menurutnya, sejarah membuktikan terdapat pemimpin terdahulu yang pernah menerima pengampunan penuh daripada Lembaga Pengampunan sebelum ini.
Justeru, Ahmad Zahid menegaskan kuasa mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan wajib dihormati oleh setiap lapisan masyarakat.
Beliau berkata, pelaksanaan pengampunan yang bersyarat termasuk tahanan di rumah adalah selaras dengan lunas perundangan dan termaktub jelas di dalam perlembagaan negara.
”Kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku harus dihormati kerana ianya mengikut apa yang telah diterapkan dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia kita,” katanya lagi.
#ZahidHamidi #NajibRazak #TahananRumah #LembagaPengampunan #MediaAAC