MASJID TANAH, 7 November 2026 — Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Basheer menegaskan bahawa semua jentera parti komponen dan rakan strategik kini melipatgandakan gerak kerja pada fasa kedua kempen tanpa meletakkan diri dalam zon selesa.
Beliau menjelaskan, pertemuan berkala yang diadakan bersama jentera melibatkan parti MCA, MIC, IPF serta rakan strategik termasuk Pas dan Wawasan bertujuan menyelaraskan perancangan bagi tempoh seminggu terakhir kempen.
Menurutnya, semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) diarahkan untuk bergerak seiring dan mengetepikan gerak kerja berasingan bagi memastikan kemenangan mutlak milik BN di Ayer Limau.
”Kita kena buat kerja bersungguh-sungguh seolah-olah kita masih belum menang dan duduk dalam keadaan yang belum melepasi paras selamat,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Memasuki fasa kedua kempen, beliau berkata jentera digerakkan serentak bagi mengedarkan risalah kempen, naskhah manifesto serta mengetengahkan rekod pencapaian Kerajaan Negeri Melaka sepanjang tiga tahun lalu.
Mengulas mengenai prestasi minggu pertama, Hameed menzahirkan rasa syukur apabila jentera beroperasi dengan lancar, namun mahu momentum tersebut diperkukuhkan melalui pergerakan yang lebih padu dan bersepadu di lapangan.
Menyentuh soal penerimaan pengundi, beliau berkata hubungannya dengan masyarakat setempat telah terjalin lama memandangkan dirinya aktif berkhidmat dan menyantuni kawasan itu sepanjang empat tahun lalu.
Mengenai kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), beliau menyifatkannya berada pada tahap amat positif apabila jentera pihak berkenaan sentiasa hadir memberikan sokongan padu dalam setiap siri jelajah.
Menjawab dakwaan pihak tertentu kononnya Melaka tidak berprestasi dalam menarik kemasukan pelabur, Hameed menepis tohmahan tersebut dan menyifatkannya sebagai cubaan politik semata-mata.
Jelasnya selaku mantan Exco berkaitan infrastruktur, kerajaan negeri telah menyediakan ‘blueprint’ rapi melibatkan penyediaan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik berkapasiti tinggi, rangkaian jalan raya serta bekalan air demi meyakinkan pelabur.
Beliau turut memberi contoh komitmen Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melabur membina stesen jana kuasa di tapak perindustrian seperti Taman Teknologi Jerman sebagai bukti perancangan matang kerajaan negeri.
Mengenai manifesto yang diumumkan, Hameed menegaskan bahawa teras pembangunan bukan sahaja menyasarkan generasi muda menerusi pemilikan rumah dan peluang pekerjaan, malah merangkumi kebajikan segenap lapisan rakyat.
Menjelang hari pengundian awal, beliau optimis sokongan pengundi awal akan memihak kepada Barisan Nasional berpaksikan rekod khidmat bakti dan kepimpinan yang stabil.
#PRNMelaka #AyerLimau #BarisanNasional #HameedBasheer #BeritaAAC