Oplus_16908288
PANTAI PUTERI, 6 November 2026 — Rekod prestasi pentadbiran dan corak kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sepanjang tiga tahun lalu bakal menjadi kayu ukur utama bagi rakyat negeri itu membuat perhitungan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rakyat Melaka memiliki ruang dan peluang terbaik untuk menilai sendiri pencapaian serta ketangkasan Ab Rauf mentadbir negeri bersama barisan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Beliau optimis bahawa sebahagian besar pengundi di negeri bersejarah itu sebenarnya sudah menetapkan pendirian serta hala tuju undi mereka jauh lebih awal sebelum gendang PRN dipalu.

“Saya fikir lima bulan dulu rakyat Melaka sudah buat keputusan. Orang Melaka sebenarnya sudah tahu apa mereka nak buat (mengundi).
“Perkara ini ada kaitan dengan rentetan apa yang terjadi dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan dahulu sampai sekarang,” katanya kepada pemberita pada program santai bertemu pengundi dan peniaga di Pantai Puteri, di sini, semalam.
Hadir sama pada program berkenaan ialah calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Turut menyertai sesi turun padang tersebut ialah dua bekas ADUN Pantai Kundor iaitu Datuk Ab Rahaman Ab Karim dan Datuk Nor Azman Hassan.
Mengulas lanjut, Mahdzir menegaskan bahawa masyarakat setempat merupakan saksi paling dekat yang melihat segala gerak kerja, pembangunan, dan usaha berterusan barisan kepimpinan negeri pimpinan Ab Rauf.
Justeru katanya, rakyat mempunyai hak mutlak untuk menterjemahkan penilaian terhadap prestasi kepimpinan berkenaan ke atas kertas undi masing-masing.
Menyentuh seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat memilih kerajaan negeri yang selari dengan Persekutuan, Mahdzir menegaskan kuasa penentu tetap berada di tangan rakyat, mengambil iktibar daripada senario pilihan raya di Sabah, Johor, dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen BN untuk meraih mandat penuh bersama rakan strategiknya, Perikatan Nasional (PN), demi kestabilan pentadbiran negeri.
“Di Melaka ini, semua sudah tahu bahawa BN memilih PN sebagai rakan strategik. Sudah pastinya kita merayu kepada masyarakat untuk memberikan undi kepada BN dan juga PN.
“Kita juga merayu kepada ahli dan penyokong PN untuk memberikan undi kepada BN,” ujarnya menutup bicara.
#PRNMelaka #AbRaufYusoh #BarisanNasional #PolitikMelaka #MediaAAC