MELAKA, 7 November 2026 — Tindakan Peguam Negara yang didakwa mempertikai serta menangguhkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perintah tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak wajar dibiarkan.
Pemimpin Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, sekiranya Peguam Negara tidak mampu menjunjung serta melaksanakan titah institusi diraja, individu berkenaan wajar berundur dan melepaskan jawatannya dengan segera.
Menurut beliau, Peguam Negara sepatutnya membangkitkan sebarang keraguan atau kekeliruan ketika berada di dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan bukannya mempersoalkannya selepas keputusan dibuat sehingga dilihat seolah-olah cuba melengah-lengahkan titah Yang di-Pertuan Agong.
Beliau turut mempersoalkan sikap kerajaan hari ini yang dilihat mempunyai rekod menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong, selain menyifatkan tindakan mempertikai kuasa prerogatif diraja tidak pernah berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan.
Wan Saiful berkata demikian susulan satu laporan polis yang dibuat oleh calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Albert Kok, di Bilik Gerakan DUN N19 Kesidang, Melaka.
Laporan polis terbabit dibuat terhadap Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar, atas dakwaan menghina, menderhaka serta mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Albert Kok, laporan itu difailkan selepas beliau membaca laporan berita mengenai dakwaan pembayaran sebanyak RM50 juta telah dibuat oleh pegawai Datuk Seri Najib Razak ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah keluar dari Penjara Kajang untuk menjalani baki hukuman tahanan di rumah.
Bagaimanapun, tindakan Pejabat Peguam Negara yang mengeluarkan arahan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah terbabit disifatkan sebagai berniat melengah-lengahkan serta menyalahgunakan kuasa.
Albert menegaskan, kuasa pengampunan bersyarat merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40 dan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang wajib dihormati dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak eksekutif.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis membuka kertas siasatan secara telus, bebas dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan luar terhadap Peguam Negara.
Mengulas lanjut, Wan Saiful turut menyelar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya mengamalkan dwistandard serta hipokrasi berhubung pelaksanaan kuasa pengampunan diraja.
Beliau menuntut agar seluruh rakyat dan pengundi, khususnya di DUN Kesidang, bangkit mempertahankan martabat Institusi Raja-Raja Melayu dan menterjemahkan bantahan terhadap kepincangan pentadbiran kerajaan menerusi peti undi.
#BeritaAAC #TitahAgong #NajibRazak #PeguamNegara #PolitikMelaka