
KUALA LUMPUR, 8 November 2026 – UMNO Bahagian Selayang tampil membuat laporan polis susulan perkembangan penangguhan pelaksanaan Perintah Pengampunan yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong membabitkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Laporan polis berkenaan dibuat oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, Tuan Ab Aziz Hanipi, bersama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan kepimpinan cawangan di Balai Polis Bandar Country Homes, Rawang.
Menurut kenyataan media bahagian itu, tindakan terbabit diambil sebagai manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab kepimpinan akar umbi dalam memastikan isu menyentuh institusi Diraja, keluhuran Perlembagaan Persekutuan serta prinsip keadilan diberikan perhatian wajar.
Pihaknya mengambil maklum langkah Jabatan Peguam Negara yang menangguhkan pelaksanaan berkaitan atas alasan wujud kekeliruan berhubung tafsiran dan kedudukan perintah pengampunan terbabit.
Bagaimanapun, UMNO Bahagian Selayang menegaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif mutlak Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, mereka berpendirian teguh mendesak agar titah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib diberi efek undang-undang serta dikuatkuasakan serta-merta tanpa sebarang alasan yang tidak munasabah.
Pihak berkuasa yang terlibat turut digesa agar tidak bersikap flip-flop dalam membuat keputusan sehingga mencetuskan kekeliruan, polemik berpanjangan serta persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
Kenyataan itu turut memberi peringatan tegas agar tidak wujud sebarang pengaruh atau campur tangan pihak luar, termasuk apa yang disifatkan sebagai ‘tangan-tangan ghaib’ yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi negara.
UMNO Bahagian Selayang menegaskan komitmen mereka untuk terus memperkukuh solidariti terhadap Najib Razak berlandaskan kesedaran undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.
#BeritaAAC #SolidarityNajibRazak #UMNOSelayang #KeadilanUntukNajib #KeluhuranPerlembagaan