LENDU, 9 November 2026 – Pendekatan kempen secara tradisi dengan menemui seramai mungkin pengundi secara bersemuka kekal sebagai strategi paling berkesan, khususnya di kawasan luar bandar dan perkampungan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkata, kaedah turun padang dan mengedarkan risalah (‘handbill’) secara manual jauh lebih dekat di hati masyarakat berbanding kebergantungan kepada bahan edaran digital atau ‘e-handbill’.
Beliau memuji usaha calon muda BN, Datuk Akram yang disifatkannya bekerja keras tanpa henti ‘merayau’ menyantuni penduduk setempat.
Menurutnya, maklum balas yang diterima menunjukkan gerak kerja calon tersebut amat positif dalam membina hubungan rapat bersama pengundi.
”Bagus, itu juga nasihat saya kepada beliau supaya yang pentingnya kita berjumpa seramai mungkin pengundi,” katanya.
Mohamad atau lebih mesra disapa Tok Mat menjelaskan, masyarakat kampung berasa lebih dihargai apabila risalah disampaikan sendiri ke tangan mereka, persis menerima sekeping kad jemputan kahwin.
Jelas beliau, pendekatan tersebut membuka ruang untuk berdialog secara santai, sekali gus membolehkan jentera parti membaca serta mengemas kini kajian sikap setiap pengundi secara tepat.
Mengulas mengenai pengundi dalam kategori ragu-ragu (doubtful), beliau menegaskan pendirian mereka sering kali berubah menjadi positif selepas menerima penerangan yang jelas menerusi siri ceramah dan perjumpaan.
Ketiadaan penjelasan yang tepat, menurutnya, membuka ruang kepada kekeliruan akibat terdedah kepada tohmahan serta fitnah yang dilemparkan pihak lawan.
Justeru, beliau mengingatkan semua penceramah dan jentera BN agar sentiasa menjaga tata susila, tutur kata serta budi bahasa sepanjang tempoh berkempen.
Tambah beliau, keutamaan parti adalah menyampaikan mesej secara berhemah agar pengundi, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan Melaka amnya, mendapat pencerahan sebenar seterusnya memberi mandat kepada BN.
#PRNMelaka #BarisanNasional #TokMat #DUNLendu #BeritaAAC