MELAKA, 9 November 2026 — Barisan Nasional (BN) mengingatkan pihak lawan agar tidak terus bersikap seperti parti pembangkang dengan hanya menggunakan taktik serangan peribadi dan menyentuh isu-isu nasional sepanjang tempoh kempen.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menegaskan bahawa parti yang berada di tampuk kuasa sepatutnya menonjolkan kestabilan serta pencapaian yang mampu memberi kepastian kepada rakyat.
Beliau menyifatkan segelintir pihak masih sukar membuang tabiat lama yang terbiasa memainkan naratif pembangkang walaupun sudah menjadi sebahagian daripada pentadbiran.
”Walaupun dah jadi kerajaan tapi masih lagi seolah-olah mereka sebagai parti pembangkang. Sepatutnya sebagai parti kerajaan, tonjolkan betapa kerajaan yang ada sekarang terutamanya di peringkat Persekutuan dapat memberi kepastian kepada rakyat.
”Apa yang nak kita buat, apa yang telah dicapai… tetapi ‘DNA pembangkang’ itu nampaknya memang tak lekang daripada mereka,” katanya.
Justeru, beliau menggesa seluruh jentera, petugas, dan penceramah parti agar tidak mudah terikut-ikut dengan rentak provokasi pihak lawan, sebaliknya memfokuskan pendekatan kempen yang tertib dan memujuk pengundi.
Menyentuh mengenai dakwaan wujudnya unsur sabotaj terhadap bahan kempen, Mohamad menjelaskan pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung insiden sedemikian, khususnya di Melaka.
Beliau menegaskan amalan merosakkan bahan kempen bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malah menjadi budaya politik tidak sihat yang perlu dielakkan oleh semua parti bertanding.
Ketika ditanya mengenai pertembungan sentimen di peringkat negeri sedangkan parti berkongsi kuasa di peringkat Pusat, beliau mengingatkan bahawa matlamat utama pilihan raya adalah untuk membentuk kerajaan yang stabil.
Menurutnya, penceramah BN dan Pakatan Harapan (PH) di bawah payung Kerajaan Perpaduan memikul tanggungjawab penting untuk menangkis kekeliruan dengan memberikan penjelasan tuntas terhadap setiap isu berbangkit, bukannya membalas caci maki pihak lawan.
”Tugas dan tanggungjawab penceramah kita menerangkan dan memberikan penjelasan supaya pengundi-pengundi dan orang ramai mendapat penerangan yang jelas dan tidak terkeliru sehingga hilang kepercayaan kepada kita,” tambah beliau lagi.
#BeritaAAC #TokMat #BarisanNasional #KerajaanPerpaduan #PolitikMalaysia