LENDU, 9 November 2026 — Bekas Ketua Menteri Melaka merangkap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyangkal dakwaan kononnya beliau merajuk atau memprotes susulan ketiadaan kelibatnya pada fasa awal kempen pilihan raya kali ini.
Menjelaskan situasi sebenar, Sulaiman menegaskan keputusan untuk tidak bertanding dibuat atas kerelaan hatinya sendiri selepas tiga penggal berkhidmat demi memberi laluan kepada kepimpinan generasi muda.
Menurut beliau, ketiadaan dirinya bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Lendu, Hakim, pada minggu pertama kempen adalah dirancang lebih awal bagi membolehkan beliau turun secara peribadi mendekati rakyat.
”Saya dah beritahu calon, minggu pertama biar saya gerak sendiri. Saya turun ke kedai kopi dan tempat tumpuan ramai untuk jelaskan kepada pengundi yang masih tertanya-tanya mengapa nama saya tiada kali ini.
”Langkah ini penting untuk meredakan kekeliruan dan sentimen rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi, supaya apabila masuk minggu kedua kempen, laluan untuk Hakim mendekati mereka menjadi lebih mudah,” jelasnya.
Sulaiman menyifatkan calon baharu itu bukan individu asing, sebaliknya telah dididik serta diasuh sejak dari peringkat Pemuda Cawangan hingga memegang portfolio Setiausaha Politik kepadanya.
Tegasnya, kawasan DUN Lendu tidak pernah ketandusan pemimpin kerana perancangan pelapis telah diatur rapi sejak sekian lama sebelum beliau mengambil keputusan untuk bersara daripada gelanggang pilihan raya.
”Sampai satu tahap, kita kena akur dan alihkan baton kepimpinan kepada orang muda. Kehendak generasi hari ini berbeza, muzik dan gaya hidup mereka pun lain, jadi pemimpin muda lebih faham aspirasi kelompok itu,” katanya.
Menyentuh rekod cemerlang BN di kubu berkenaan, beliau menolak sekeras-kerasnya sikap mensabotaj parti atau membiarkan calon pengganti terkontang-kanting berdepan saingan.
”Rekod kita di Lendu dan Parlimen Masjid Tanah bersih tanpa kekalahan sejak dulu. Takkan bila saya tak bertanding, saya nak biarkan parti kita kalah? Dulu orang bantu kita selama tiga penggal, sekarang wajib giliran kita bantu mereka pula,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Sulaiman turut menitipkan pesanan kepada bakal wakil rakyat agar sentiasa bersedia mendengar keluhan masyarakat dan mengetepikan sikap sombong apabila berdepan masalah rakyat di lapangan.
Beliau menambah, komitmen penuh akan diteruskan sepanjang baki tempoh kempen ini bagi memastikan kerusi DUN Lendu kekal menjadi milik Barisan Nasional.
#BeritaAAC #SulaimanMdAli #DUNLendu #PRNMelaka #PolitikMelaka