MELAKA, 9 November 2026 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Setiausaha Politik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dato’ Mohd Razlan Rafii, menasihatkan seluruh penjawat awam serta pengundi awal agar tidak tunduk kepada sebarang bentuk ugutan menjelang proses pengundian awal esok.
Beliau menegaskan, para pengundi yang terdiri daripada anggota keselamatan tidak perlu berasa gentar atau bimbang dengan naratif ancaman yang didakwa dimainkan oleh pihak lawan bagi mempengaruhi pilihan mereka.
Menurutnya, taktik intimidasi sedemikian bukanlah perkara baharu, sebaliknya pernah digunakan oleh pihak tertentu dalam siri pilihan raya sebelum ini di Johor dan Negeri Sembilan, namun usaha itu terbukti gagal.
”Ada banyak ugutan yang mereka buat. Dia dah buat dekat Johor tak jadi, dia buat dekat Negeri Sembilan tak jadi. Sekarang ini dia cuba buat juga dekat Melaka,” katanya mengulas situasi semasa menjelang hari pengundian awal.
Mengulas lanjut, Mohd Razlan mendedahkan wujud cubaan menakut-nakutkan pengundi awal kononnya tindakan pentadbiran seperti pemindahan balai akan diambil sekiranya mereka tidak memberikan sokongan kepada calon tertentu.
Bagaimanapun, beliau menempelak dakwaan tersebut dan menyifatkannya semata-mata sebagai propaganda kosong yang tidak berasas.
”Untuk mengugut sekiranya balai ini kalau tak sokong, kita akan pindahkan balai ini… ini semua adalah cakap-cakap kedai kopi sahaja,” tegas beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh warga penjawat awam, khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk menggunakan hak demokratik mereka secara matang dan berani.
Beliau meminta para pengundi awal menunaikan tanggungjawab mengundi mengikut pertimbangan sendiri tanpa rasa gusar mahupun tertekan dengan sebarang desakan luar.
Pada masa sama, Mohd Razlan memberi jaminan bahawa Barisan Nasional (BN) komited mempertahankan kebajikan penjawat awam sekiranya diberi mandat untuk memenangi pilihan raya akan datang.
Jelasnya, tidak pernah terlintas dalam pemikiran kepimpinan BN untuk menekan apatah lagi menganiaya mana-mana penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru pengundi awal agar melaksanakan amanah demi masa depan negara dengan memberikan mandat dan memilih Barisan Nasional.
#UndiAwal #BeritaAAC #RazlanRafii #BarisanNasional #PolitikMalaysia