MELAKA, 11 November 2026 – Kepimpinan muda dan rekod khidmat masyarakat yang konsisten menjadi sandaran utama buat calon nombor 01 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu (N15), Puan Siti Aishah Mahmod, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Puan Aina Ahmad, beliau optimis Siti Aishah mampu meraih kepercayaan pengundi dan dinobatkan sebagai Yang Berhormat (YB) di kawasan berkenaan pada 14 haribulan ini.
Jelas Aina, Siti Aishah bukanlah wajah baharu yang asing bagi penduduk setempat, sebaliknya seorang pemimpin muda yang sudah lama dikenali dan sangat sinonim dengan masyarakat di Pengkalan Batu.
Mengulas mengenai latar belakang calon tersebut, Aina memaklumkan bahawa Siti Aishah merupakan Setiausaha JAPERUN serta Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya yang sentiasa aktif dalam gerak kerja kemasyarakatan.
”Beliau adalah seorang wanita yang sering turun padang bersama kepimpinan terdahulu dan khidmatnya memang telah lama dikenali oleh masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi temu bual.
Menjawab dakwaan mengenai wujudnya ‘bisikan-bisikan belakang’ atau spekulasi kurang enak menjelang hari pengundian, Aina menyifatkan perkara tersebut sekadar ‘angin lalu’ yang tidak menjejaskan fokus jentera parti.
Tegas beliau, secara jujurnya tiada sebarang isu berbangkit seperti yang digembar-gemburkan segelintir pihak yang mungkin membuat andaian tersendiri dari luar.
”Hakikatnya tiada apa-apa yang berlaku dan kami yakin Siti Aishah adalah antara calon yang bakal mendapat tempat di hati rakyat di Pengkalan Batu,” ujar beliau lagi.
Sebagai salah seorang pemimpin Wanita di bahagian tersebut, Aina menyuarakan harapan besar untuk melihat Siti Aishah mencipta kejayaan sekali gus membuktikan kemampuan golongan wanita dalam menerajui kepimpinan negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga pengundi di DUN Pengkalan Batu N15 agar tidak melepaskan peluang untuk keluar mengundi dan memilih calon nombor 01 pada 14 haribulan nanti.
”Sama-sama kita mengangkat martabat wanita sebagai pemimpin di Pengkalan Batu, insya-Allah,” katanya mengakhiri temu bual.
#BeritaAAC #PRNMelaka #PengkalanBatuN15 #UndiCalon01 #KepimpinanWanita