MELAKA, 11 November 2026: Keputusan mahkamah yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan di rumah disifatkan sebagai satu kemenangan moral buat penyokong dan tamparan hebat kepada kerajaan hari ini.
Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob berkata, keputusan tersebut membuktikan kebenaran akhirnya berpihak kepada bekas Perdana Menteri itu selepas melalui pelbagai halangan dan rintangan.
Menurutnya, kelewatan pelaksanaan perkara itu sebelum ini mencetuskan tanda tanya, sekali gus mendakwa terdapat usaha daripada pihak tertentu untuk menyembunyikan titah adendum yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
”Walaupun lama kita menunggu, ianya satu kejayaan moral kepada kita dan menjadi tamparan kepada kerajaan sekarang yang ternyata menjadi dalang kepada halangan-halangan yang dilalui oleh Najib,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga ahli Kelab N87 bagaimanapun mengingatkan ahli parti dan penyokong agar tidak terlalu cepat berpuas hati kerana Najib masih lagi berdepan dengan beberapa kes mahkamah yang lain.
Mengulas lanjut, Mustapha menegaskan matlamat utama jentera parti ketika ini adalah untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan dalam pilihan raya akan datang bagi menjamin keadilan sebenar buat Najib.
Katanya, pembebasan sepenuhnya buat bekas Presiden UMNO itu hanya dapat direalisasikan sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali memegang tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Beliau turut membandingkan proses pembebasan penuh yang diterima pemimpin kerajaan hari ini yang didakwa tidak melalui saluran jawatankuasa pengampunan sepertimana yang terpaksa dilalui oleh Najib.
”Semuanya kerana takut kepada Najib. Mereka tahu sekiranya Najib bebas sepenuhnya, mereka akan tewas dan PH akan kalah dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya tegas.
Tambah beliau, rakyat kini sudah mula muak dan resah dengan pentadbiran semasa serta sedang menunggu masa untuk menghukum kerajaan pada PRU-16 nanti.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera Veteran UMNO di seluruh negara dan ahli Kelab N87 untuk terus berdoa serta bekerja keras memastikan PH ‘dikuburkan’ demi mengembalikan semula pemerintahan BN di Putrajaya.
#BeritaAAC #NajibRazak #VeteranUMNO #PRU16 #TahananRumah