KUALA LUMPUR, 11 November 2026: Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar mendakwa parti DAP kini sedang memainkan naratif sebagai mangsa (play victim) susulan peletakan jawatan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan bertarikh 11 November, Gulam Muszaffar mempersoalkan tindakan Anthony Loke yang meletakkan jawatan atas dasar prinsip parti kerana tidak bersetuju dengan keputusan membenarkan baki hukuman tahanan di rumah buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut beliau, sekiranya tindakan tersebut benar-benar berlandaskan prinsip parti, kesemua menteri daripada DAP seharusnya mengambil langkah konsisten dengan turut meletakkan jawatan, dan bukannya hanya melibatkan Anthony Loke seorang sahaja.
Beliau turut memetik peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini dilaporkan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa beliau merupakan pihak yang membawa dan memperjuangkan permohonan pengampunan Najib pada tahun 2024, bukannya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Gulam Muszaffar mempersoalkan sikap pemimpin DAP pada ketika itu yang didakwanya berdiam diri tanpa sebarang bantahan apabila Perdana Menteri membuat pengakuan tersebut di Parlimen.
”Kini, gegak gempita kem DAP bila ‘Bossku’ (Najib) diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kenapa tidak tuding dan salahkan Perdana Menteri?” soal beliau dalam kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menyasarkan kritikan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menganggotai Lembaga Pengampunan, dengan mendakwa pemimpin DAP itu mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menggambarkan dirinya sebagai mangsa keadaan.
Gulam Muszaffar berpandangan bahawa Hannah Yeoh merupakan individu yang sepatutnya meletakkan jawatan berbanding Anthony Loke, memandangkan beliau hadir dan terlibat dalam proses menasihati Yang di-Pertuan Agong semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan berlangsung.
Beliau turut mendakwa perubahan naratif dan sentimen simpati yang dimainkan oleh pemimpin serta penyokong DAP ketika ini berlaku selepas keputusan muktamad dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, yang mana isu-isu seperti dana RM50 juta dan kes 1MDB kembali dibangkitkan.
Menurutnya, perkara-perkara berkenaan tidak pernah dipersoalkan oleh pimpinan DAP sewaktu proses pembentukan kerajaan perpaduan dahulu demi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Gulam Muszaffar bagi pihak UMNO Bahagian Batu merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana bersikap terbuka serta membuka ruang terhadap permohonan pengampunan melibatkan Najib.
Beliau turut menyertakan sebuah klip video bersama kenyataan media tersebut sebagai bukti bagi menyokong hujahnya berhubung perkara berkenaan.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #UMNOBatu #AnthonyLoke #PengampunanNajib