MELAKA, 14 November 2026 – Kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai isyarat jelas kebangkitan rakyat serta titik permulaan untuk merampas semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Tpr Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pencapaian memenangi 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti yang amat besar membuktikan penerimaan luar biasa pengundi terhadap persefahaman kedua-dua gabungan tersebut.
Menurut beliau, kejayaan di DUN N.18 Ayer Molek menjadi bukti paling ketara apabila sasaran awal Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 8,000 undi majoriti berjaya dilepasi sehingga mencecah antara 12,000 hingga 13,000 undi.
”Terima kasih kepada semua jentera khususnya jentera Wilayah yang membantu calon N.18, serta seluruh pengundi di Melaka yang berjaya menterjemahkan undi mereka dengan begitu bermakna,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman rasmi keputusan pilihanraya Melaka di MITC MELAKA.
Mengulas mengenai desakan sesetengah pihak agar kerajaan Persekutuan dibubarkan segera susulan kemenangan berturut-turut di Johor, Melaka dan sebelum ini di Negeri Sembilan, Abdul Razak menegaskan bahawa jentera parti sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.
Tambah beliau, tumpuan selepas ini akan terarah kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum menghadapi medan tempur sebenar di peringkat nasional.
”Mood dan motivasi jentera serta penyokong Barisan Nasional kini berada pada tahap tertinggi. Jika momentum ini berjaya dikekalkan secara berterusan, Insya-Allah pada PRU-16 kita mampu menang lebih banyak kerusi dan menawan kembali Putrajaya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kerjasama antara BN dan PN di Melaka sebagai satu medan ujian yang berjaya membuktikan komitmen rakyat terhadap agenda penyatuan ummah.
”Ini menunjukkan rakyat komited mahu melihat penyatuan bangsa Melayu dan agama Islam menjadi lebih bersatu padu. Sebelum ini kita banyak berpecah-belah dan berlainan pandangan, namun persefahaman ini mengorak langkah untuk kita merangka matlamat yang lebih besar,” katanya lagi.
#BeritaAAC #PRNMelaka #MenujuPRU16 #PenyatuanUmmah #PolitikMalaysia