KUALA LUMPUR, 15 November 2026 – Keputusan kerajaan meluluskan bayaran nominal sebanyak RM1,000 berbanding kadar premium asal RM4.67 juta bagi lanjutan pajakan tanah selama 99 tahun kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mengundang persoalan daripada Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Gulam menyatakan bahawa pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-103 KLSCAH semalam berpotensi memberi impak besar terhadap kewangan kerajaan.
Menurut beliau, walaupun pihaknya menyokong penuh usaha memelihara bangunan bersejarah tersebut melalui lanjutan tempoh pajakan, kadar bayaran nominal yang ditetapkan disifatkan sebagai terlalu rendah dan tidak munasabah.
”Saya bukan cemburu atau mempertikaikan pengumuman yang dibuat oleh YB Hannah Yeoh selaku Menteri Wilayah Persekutuan, tetapi tindakan ini akan memberi implikasi yang besar kepada dasar pemberian bayaran nominal,” katanya.
Gulam menjelaskan bahawa langkah sedemikian secara langsung akan menyebabkan hasil kutipan cukai dan pendapatan kerajaan berkurangan dengan ketara.
Tambahnya lagi, memandangkan KLSCAH merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, bayaran premium asal berjumlah RM4.67 juta seharusnya tidak menjadi bebanan besar buat persatuan tersebut.
”Saya setuju untuk lanjutan 99 tahun atas sifat bersejarah bangunan tersebut untuk dipelihara, tetapi membayar bayaran nominal RM1,000 daripada nilai asal RM4.67 juta adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau turut melontarkan persoalan mengenai motif sebenar di sebalik kelulusan istimewa berkenaan dan meminta kerajaan berterus terang kepada rakyat.
”Adakah ini cara Kerajaan Madani memancing undi masyarakat Cina? Cuba berterus terang sahaja,” soalnya dalam kenyataan yang sama.
Mengulas lanjut, Gulam berpandangan bahawa keputusan tersebut kini telah membuka ruang serta menjadi rujukan kes (precedent) kepada pihak lain pada masa hadapan.
Justeru, beliau menyarankan agar semua pemilik bangunan, premis atau lokasi yang mempunyai nilai sejarah seperti sekolah, masjid, tokong, kuil, dan gereja di Wilayah Persekutuan turut mengemukakan permohonan yang sama kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) bagi menikmati keistimewaan bayaran nominal tersebut.
#BeritaAAC #IsuSemasa #WilayahPersekutuan #KLSCAH #PolitikMalaysia