KUALA LUMPUR, 16 November 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar mempersoalkan kelulusan bayaran premium tanah pajakan 99 tahun bernilai nominal RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), yang didakwa jauh lebih rendah berbanding nilai asal sebanyak RM4.67 juta.
Menerusi satu kenyataan media hari ini yang merupakan siri kedua pendedahan beliau berhubung isu berkenaan, Gulam menyifatkan kadar kelulusan tersebut sebagai satu bentuk pemberian yang hampir percuma bagi sebidang tanah berstatus tinggi di tengah-tengah ibu negara.
Menurut beliau, jika dibuat perkiraan matematik mudah, jumlah RM1,000 bagi tempoh pajakan selama 99 tahun bermakna pihak terbabit hanya perlu membayar sekitar RM10.10 setahun.
”Kadar itu bersamaan dengan hanya RM0.85 sen sebulan atau sekitar RM0.03 sen sehari bagi tanah yang begitu bernilai di tengah-tengah ibu kota,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Gulam turut menegaskan bahawa lokasi tanah terbabit amat strategik kerana bersempadan dan terletak berdekatan dengan Menara Merdeka 118, sebuah kawasan pembangunan yang mempunyai nilai hartanah mencecah berbilion ringgit.
Sehubungan itu, UMNO Bahagian Batu tampil mendesak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) agar tampil memberikan penjelasan dan mengeluarkan garis panduan yang jelas.
Beliau meminta pihak berkuasa berkaitan untuk mendedahkan prosedur operasi standard (SOP), dasar, polisi atau kriteria khusus yang digunakan dalam meluluskan kadar premium nominal sedemikian.
Jelasnya, ketelusan kriteria tersebut amat penting supaya UMNO Wilayah Persekutuan turut dapat menggunakan saluran dan kaedah yang sama bagi memperjuangkan nasib tanah-tanah milik orang Melayu di ibu kota.
”Kami mahu tahu bagaimana UMNO Wilayah Persekutuan boleh memperjuangkan isu tanah untuk kampung-kampung Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta premis-premis atau bangunan yang mempunyai nilai sejarah tinggi agar mendapat keistimewaan sama seperti yang diterima KLSCAH,” tegasnya.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa sekiranya tawaran harga nominal yang sama dapat diberikan, banyak tanah kampung tradisi Melayu serta bangunan warisan bersejarah di Kuala Lumpur dapat diselamatkan dan dipertahankan daripada terlepas ke tangan pihak lain.
Mengakhiri kenyataannya, Gulam turut mengaitkan isu semasa ini dengan bantahan terdahulu terhadap cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini.
”Akhir kata, dulu URA kita lawan dan mereka gagal, kini mereka guna kaedah lain pula untuk agenda tertentu. Wallahuallam,” ujarnya lagi.
#BeritaAAC #IsuTanahKL #UMNOBatu #KampungMelayuKL #KLSCAH