KUALA LUMPUR, 17 November 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan yang dilihat memberi ruang kepada syarikat pengendali perkhidmatan, Zetrix AI untuk mengemukakan tawaran penyelesaian berhubung tunggakan kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM314 juta.
Menurut Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan media hari ini, perkara tersebut menimbulkan tanda tanya besar memandangkan pengesahan mengenai tunggakan kutipan yang gagal diserahkan kepada pihak JPJ itu telah pun dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau mengulas mengenai cadangan penyelesaian yang dikemukakan Zetrix AI kepada Kementerian Pengangkutan, di mana syarikat tersebut menawarkan bayaran pendahuluan sebanyak RM100 juta, manakala baki RM214 juta lagi akan dilunaskan secara ansuran bulanan berjumlah RM35.6 juta selama enam bulan.
Tawaran tersebut difahamkan bertujuan membolehkan Zetrix AI terus beroperasi sebagai ejen kutipan rasmi bagi pihak JPJ, dan keputusan muktamad berhubung kelulusan cadangan berkenaan bakal ditentukan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Gulam Muszaffar menyifatkan mekanisme tawaran bayaran secara berperingkat itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal memandangkan wang tersebut merupakan hasil kutipan terus daripada rakyat.
”Persoalannya, kenapa perlu ada cadangan dan tawaran bayaran tunggakan? Bukankah duit kutipan yang diambil daripada rakyat bagi pihak JPJ itu sepatutnya diserahkan sepenuhnya selepas ditolak komisen mengikut kerangka perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini antara kerajaan dengan Zetrix AI?” soal beliau.
Beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya wujud usaha daripada pihak tertentu di peringkat pentadbiran untuk menyelamatkan syarikat berkenaan daripada tindakan tegas yang sewajarnya dikenakan.
Tegasnya, jika Kementerian Kewangan meluluskan cadangan ansuran tersebut, ia seolah-olah mengesahkan dakwaan wujudnya campur tangan atau ‘tangan-tangan ghaib’ di belakang tabir yang cuba melindungi kepentingan syarikat terbabit.
Dalam pada itu, Gulam Muszaffar turut membidas apa yang disifatkannya sebagai amalan pilih kasih atau double standard dalam penguatkuasaan undang-undang serta peraturan melibatkan rakyat biasa berbanding syarikat korporat.
”Apabila urusan JPJ seperti pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan saman di platform Zetrix AI melibatkan rakyat, tiada langsung masa dan had tempoh tunggakan diberikan, tetapi apabila melibatkan Zetrix AI, had masa untuk menjelaskan tunggakan diberikan oleh kerajaan,” katanya lagi.
Beliau juga membandingkan reaksi pentadbiran semasa dengan era pemerintahan Barisan Nasional (BN) terdahulu, dengan mendakwa isu melibatkan ketirisan atau kelewatan serahan hasil kerajaan sebegini pasti akan dikecam hebat sekiranya berlaku pada zaman BN.
Gulam Muszaffar turut menyelar sikap berdiam diri Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya tidak berani bersuara dalam membangkitkan isu integriti kutipan hasil negara tersebut di Dewan Rakyat.
#BeritaAAC #IsuJPJ #ZetrixAI #TunggakanRM314Juta #SuaraRakyat