KUALA LUMPUR, 17 November 2026: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyifatkan tindakan beberapa pihak yang melenting di Dewan Rakyat semalam berpunca daripada rasa ‘terluka’ akibat kekalahan berturut-turut dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
Menurut beliau, kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam empat siri pilihan raya, termasuk tiga daripadanya di Johor, Negeri Sembilan, dan Melaka ketika Barisan Nasional (BN) tidak bersama gabungan itu, telah meninggalkan kesan mendalam kepada mereka.
”Mungkin mereka terasa terluka empat kali itu (kalah), terus melenting dengan apa yang berlaku semalam di Dewan Rakyat. Ketika BN tidak bersama dengan PH, BN menang dan PH kalah, jadi itu sangat mendukacitakan mereka,” katanya ketika mengulas insiden kekecohan di Parlimen.
Mengulas lanjut mengenai punca tercetusnya ketegangan tersebut, Ahmad Maslan menjelaskan bahawa perkara itu tiada dalam teks ucapan asalnya, sebaliknya timbul selepas dua pihak membangkitkan isu pemansuhan tol.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan pada hari ini tidak pernah berjanji untuk memansuhkan tol, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter, mahupun membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara menyeluruh.
”Lepas itu saya kata ada nak dengar pantun? Dari situlah ia bermula. Saya pun sudah menarik balik perkataan ‘kencing’ itu, namun walaupun sudah ditarik balik, mereka tetap mengadakan sidang media (PC),” ujarnya.
Berhubung desakan agar beliau melepaskan jawatan susulan insiden tersebut, Ahli Parlimen Pontian itu bertegas tidak akan berbuat demikian kerana pelantikannya adalah atas sokongan parti UMNO dan BN.
Malah, beliau mendedahkan bahawa Presiden UMNO tidak pernah mengarahkannya untuk meletakkan jawatan, sebaliknya hanya tersenyum apabila ditunjukkan rakaman sidang media pihak yang mendesak beliau berundur.
”Ketika sidang media itu diadakan sekitar jam 4.30 hingga 5 petang semalam, saya sedang bersama Presiden dan ahli-ahli Parlimen BN. Presiden hanya tersenyum dan menyifatkan perkara itu sebagai permainan politik semata-mata,” jelasnya.
Dalam nada berseloroh, Ahmad Maslan turut meramalkan bahawa pihak berkenaan berkemungkinan akan berdepan kekalahan buat kali kelima sekiranya mereka bertanding di Sarawak kelak.
”Kalau kita sekali terluka pun kadang-kadang boleh kemurungan separuh hidup, terutama yang putus cinta, apatah lagi kalau sudah empat atau lima kali terluka,” tambahnya.
#BeritaAAC #AhmadMaslan #DewanRakyat #PolitikMalaysia #ParlimenMalaysia