KUALA LUMPUR, 17 November 2026 – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkukuh kesiapsiagaan menyeluruh bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang bermula pada 27 Oktober 2026 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027 demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, musim hujan lebat yang berterusan berisiko tinggi mencetuskan bencana seperti banjir, tanah runtuh, pokok tumbang serta kerosakan struktur jalan raya dan jambatan.
Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengarahkan semua pihak berkaitan, termasuk 28 syarikat konsesi lebuh raya, untuk melaksanakan persediaan awal di lapangan.
Menurut beliau, JKR kini mengoperasikan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) serta Sistem Pengurusan Bencana (eBencana) bagi memantau dan menyalurkan maklumat kejadian bencana melibatkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri secara masa nyata.

Bagi rangkaian lebuh raya pula, LLM menggunakan Pusat Pengurusan Trafik (TMC) yang beroperasi 24 jam sehari, manakala Highway Crisis Control & Command Centre (Hi4C) akan diaktifkan sekiranya berlaku bencana berskala besar seperti penutupan kedua-dua arah laluan melebihi 24 jam.
Mengulas mengenai pemantauan cerun di seluruh negara, beliau memaklumkan sebanyak 34,544 cerun telah dikenal pasti dengan 1,643 daripadanya dikategorikan sebagai berisiko sangat tinggi, termasuk laluan kritikal dari Simpang Pulai ke Cameron Highlands yang kini dipantau rapi menggunakan teknologi sensor dan kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung.

Untuk fasa persediaan sebelum banjir, KKR memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan pembersihan sistem saliran, penyediaan peralatan kecemasan serta meletakkan Jambatan Bailey di lokasi strategik seluruh Semenanjung Malaysia bagi menggantikan jambatan yang rosak atau terputus hubungan dengan segera.
Semasa bencana berlaku, pasukan bantuan kecemasan dan jentera akan digerakkan pantas bagi kerja pembersihan halangan, penampalan jalan berlubang serta penyelarasan operasi bersama agensi keselamatan seperti MetMalaysia, JPS, PDRM dan JBPM.
Bagi fasa pascabanjir pula, pemeriksaan rapi terhadap struktur cerun, jambatan dan jalan yang terjejas akan dilakukan terlebih dahulu sebelum laluan berkenaan disahkan selamat untuk dibuka semula kepada orang ramai.

Selain itu, sebanyak 85 Jurutera Daerah di seluruh negara bertindak sebagai petugas barisan hadapan JKR untuk sentiasa peka terhadap kawasan titik panas banjir di daerah masing-masing, termasuk kawasan yang kerap dinaiki air seperti Kampung Melayu Subang.
Orang ramai disarankan untuk menyemak status laluan terkini sebelum memulakan perjalanan melalui laman web bencana.jkr.gov.my, aplikasi eBencana JKR, Facebook rasmi BiGBen JKR Malaysia, portal mhalert.llm.gov.my atau menghubungi talian hotline TMC LLM di 1-800-88-7752.
KKR turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada, mematuhi papan tanda amaran yang dipasang di lokasi berisiko serta tidak mengambil risiko meredah laluan yang dinaiki air.
Komitmen berterusan KKR bersama agensi-agensi di bawahnya ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam mengutamakan keselamatan, kesejahteraan dan kelancaran pergerakan rakyat sepanjang musim tengkujuh.
#BeritaAAC #MonsunTimurLaut #KKRMalaysia #InfoBanjir #KeselamatanJalanRaya