KUALA LUMPUR, 18 November 2026 – Kelab Sahabat Najib N87 Malaysia menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung penyebaran dokumen di ruang awam yang didakwa sebagai minit mesyuarat Lembaga Pengampunan melibatkan permohonan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Presidennya, Dato’ Sri Abdul Rahman Bakar dalam satu kenyataan media hari ini menegaskan bahawa isu berkenaan bukan sekadar pertikaian politik biasa, sebaliknya menyentuh soal integriti dokumen rasmi kerajaan dan kerahsiaan proses institusi Perlembagaan.
Menurutnya, perkara itu juga berkait rapat dengan penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong memandangkan proses pengampunan mempunyai kedudukan khusus di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, pihak berkuasa digesa untuk mengesahkan terlebih dahulu ketulenan dokumen yang tular tersebut kerana kesahihan sesuatu dokumen rasmi tidak boleh ditentukan berdasarkan dakwaan di media sosial semata-mata.
Abdul Rahman turut berpandangan bahawa satu laporan polis wajar dibuat dengan segera bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat punca kebocoran serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebarkannya ke ruang awam.
”Pihak penyiasat hendaklah meneliti sama ada terdapat pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972, termasuk Seksyen 2C dan Seksyen 8, serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan berdasarkan fakta dan bukti,” katanya.
Beliau menambah, sebarang maklumat dan dokumen berkaitan proses pengampunan perlu ditangani secara bertanggungjawab agar tidak dijadikan bahan manipulasi politik oleh mana-mana pihak.
Dalam pada itu, Kelab Sahabat Najib N87 Malaysia menyeru orang ramai serta semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi, fitnah atau tindakan memutarbelitkan kandungan dokumen yang belum disahkan sehingga mencetuskan kekeliruan rakyat.
Sekiranya terbukti berlaku kebocoran dokumen rasmi atau penyebaran maklumat secara tidak sah, pihak yang terlibat perlu dikenal pasti dan dikenakan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang tanpa pilih kasih.
”Kelab tidak berniat melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan. Prinsip kami jelas iaitu undang-undang mesti ditegakkan tanpa pilih kasih,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan kelab berkenaan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib melalui saluran undang-undang dan Perlembagaan yang sah tanpa meminta sebarang layanan istimewa, sebaliknya hanya menuntut proses yang adil, telus dan berintegriti. – Berita AAC
#BeritaAAC #NajibRazak #LembagaPengampunan #KedaulatanUndangUndang #IsuSemasa