SEPANG, 18 NOVEMBER 2026 – Jenama minuman berkarbonat tempatan di bawah syarikat Neatness Group Sdn. Bhd., Kuala Cola, kini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menembusi rangkaian stesen minyak 5Petrol di seluruh Semenanjung Malaysia. Perkembangan ini diraikan menerusi Majlis Pelancaran Rasmi yang berlangsung penuh meriah di 5Petrol KLIA Pit Stop, hari ini.
Pemilihan lokasi berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dilihat amat strategik sebagai titik persinggahan utama pengguna jalan raya serta pelawat tempatan dan antarabangsa. 5Petrol merupakan stesen minyak pertama yang membuka ruang dan memberikan kepercayaan penuh kepada Kuala Cola untuk menembusi saluran peruncitan bahan api tempatan.

Menurut wakil Neatness Group Sdn. Bhd., idea penghasilan Kuala Cola sebenarnya tercetus daripada jaringan perniagaan syarikat yang sebelum ini memfokuskan kepada eksport minyak zaitun ke Timur Tengah. Rakan niaga dari Arab Saudi telah mencabar syarikat itu untuk membangunkan produk cola keluaran Malaysia yang mempunyai pensijilan halal bagi memenuhi permintaan pasaran di sana.
Selepas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama setahun setengah, formulasi minuman tersebut berjaya menepati cita rasa pengguna di Timur Tengah. Walaupun pada awalnya disasarkan khusus untuk pasaran eksport, pihak syarikat akhirnya mengambil keputusan untuk membawa pulang jenama ini bagi memberi alternatif baharu kepada rakyat Malaysia, terutamanya di tengah-tengah gelombang sentimen boikot terhadap jenama antarabangsa.
Mengulas mengenai pemilihan nama unik “Kuala Cola”, beliau menjelaskan bahawa perkataan “Kuala” diilhamkan oleh pelancong dari Timur Tengah yang sering merujuk Malaysia atau Kuala Lumpur sebagai “Kuala”. Selain itu, terdapat lebih 200 kawasan dan daerah di seluruh negara seperti Kuala Pilah, Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur yang menggunakan nama tersebut, sekali gus menjadikannya sangat dekat di hati rakyat tempatan.

Mengangkat slogan “Tiga Rasa, Satu Malaysia” dengan *tagline “Balance The Taste, Rasa Seimbang”, Kuala Cola tampil dengan tiga variasi rasa utama iaitu Original Cola, Zero Sugar yang mengandungi sifar kalori bersama campuran Arabic Gum, serta Mix Cola yang menggabungkan rasa cola klasik dengan garam Himalaya.
Walaupun baru sahaja bertapak di pasaran tempatan dalam tempoh sekitar lima bulan, sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Setakat ini, produk tersebut sudah berjaya memasuki 19 hingga 25 rangkaian stesen 5Petrol di seluruh Semenanjung Malaysia, meliputi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Wakil syarikat itu mengakui bahawa proses untuk menembusi rangkaian stesen minyak bukanlah satu tugas yang mudah bagi jenama baharu. Namun, kesediaan 5Petrol yang juga merupakan syarikat tempatan untuk menyokong produk usahawan Malaysia telah menjadi titik tolak penting dalam perjalanan perniagaan mereka.
Selain rangkaian stesen minyak 5Petrol, Kuala Cola turut boleh didapati di beberapa lokasi tumpuan lain termasuk pasar raya BilaBila Mart, TRX Sibu, Pasar Besar Central Market, rangkaian restoran masakan Arab di seluruh negara, Restoran Banafe Ampang serta beberapa farmasi terpilih.
Dalam pada itu, Neatness Group Sdn. Bhd. kini sedang giat merancang peluasan pasaran yang lebih agresif. Pihak syarikat telah pun menandatangani perjanjian untuk memasuki pasar raya besar seperti AEON dan sedang dalam proses penyenaraian ke rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart dalam masa terdekat.
Syarikat juga tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama bersama agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), SME Corp dan MARA bagi memperkukuh lagi kedudukan jenama tempatan ini di pasaran domestik dan antarabangsa.
Dengan momentum pertumbuhan yang positif ini, Kuala Cola optimis dapat menjadi kebanggaan baharu industri minuman negara dan membuktikan bahawa produk buatan Malaysia mampu bersaing secara sihat di pasaran terbuka.

#KualaCola #ProdukTempatan #SokongLokal #5Petrol #BeritaAAC