ALOR SETAR, 18 November 2026 – UMNO Kedah menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua susulan tindakannya memuat naik butiran Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan di media sosial baru-baru ini.
Butiran yang dikongsikan tersebut dilaporkan berkaitan dengan keputusan pengampunan bersyarat melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan tindakan bekas pemimpin DAP itu sebagai perbuatan yang berniat jahat serta telah melampaui batas perundangan negara.
Menurut Mahdzir, perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap Tony Pua serta parti DAP berhubung penyebaran maklumat tersebut.
”Saya kira tindakan Tony Pua itu sudah melampaui batas kerana berniat jahat terhadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut mendakwa bahawa tindakan tersebut sengaja dilakukan dengan niat untuk mencabar kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong selain melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
Mengulas lanjut, Mahdzir mempersoalkan bagaimana kandungan dokumen yang berstatus sulit dan masih belum dinyahklasifikasikan boleh tersebar dengan mudah kepada pengetahuan umum.
”Kalau dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan itu telah dinyahklasifikasikan, kenapa tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan?” soalnya.
Tegas beliau, situasi tersebut membuktikan bahawa minit mesyuarat berkenaan berkemungkinan besar diperolehi secara tidak sah dan sengaja dibocorkan oleh pihak tertentu untuk mencetuskan polemik baharu.
Sehubungan itu, Mahdzir memaklumkan bahawa UMNO Kedah akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat bagi mendesak siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti dalang di sebalik kebocoran dokumen sulit itu.
Dalam pada itu, beliau turut mencabar Tony Pua supaya tampil berterus-terang dan mendedahkan sumber sebenar beliau memperoleh butiran minit mesyuarat berkenaan.
”Tony Pua jangan bertindak membaling batu sembunyi tangan, beliau perlu menjelaskan dari mana sumber maklumat dan butiran minit mesyuarat itu diperolehi,” ujarnya.
Mahdzir turut mengingatkan semua pihak agar menghentikan amalan politik yang melampaui batas undang-undang sehingga boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam negara serta mempertikaikan institusi diraja.
#UMNOKedah #LembagaPengampunan #AktaRahsiaRasmi #PolitikMalaysia #MediaAAC