KUALA LUMPUR, 21 November 2026 – Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengumumkan perancangan besar dan menyeluruh bagi menghadapi kalendar kejohanan padat tahun 2027, termasuk misi penting selaku tuan rumah Sukan SEA di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Presiden PSM, Datuk Wira Sumali Reduan berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi dan Mesyuarat Agung Tahunan PSM bagi tahun 2026 yang turut dihadiri Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nasir Ali.
Menurut beliau, selain kejohanan domestik seperti Piala Tun Ali, Piala Remaja Kebangsaan dan Liga Sepak Takraw (STL), skuad negara bakal berdepan tiga ujian antarabangsa utama tahun hadapan iaitu Kejohanan Dunia di Jakarta pada Mei, Piala Raja Thai pada Julai, serta Sukan SEA pada September.
Bagi memastikan Malaysia mampu bersaing hebat, PSM memberi penekanan serius terhadap program pembangunan akar umbi dengan cadangan mewujudkan klinik sepak takraw Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSCDP) secara bulanan di setiap negeri.
Dalam aspek kejurulatihan pula, Sumali mendedahkan terdapat perancangan untuk melakukan rombakan serta penstrukturan semula bagi memperkukuh skuad lelaki, wanita, pelapis bawah 23 tahun, serta pasukan chinlone.
”Kita amat serius mahu melihat skuad wanita kita bangkit dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Justeru, kita bercadang membawa masuk jurulatih atau tenaga pengajar dari luar negara seperti Thailand bagi melatih pasukan wanita kita,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas mengenai kedudukan Pengarah Teknikal, Ahmad Jais Baharun, Sumali menjelaskan perkara itu masih dalam perbincangan sebelum dimuktamadkan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hujung bulan ini, dengan peranan pengarah teknikal dijangka diperluaskan untuk memantau keseluruhan skuad termasuk wanita dan pelapis.
Dari segi sasaran, PSM mengekalkan perancangan menyenaraikan 21 pemain lelaki dan mencadangkan penambahan kepada 18 pemain wanita bagi skuad podium, dengan tumpuan khusus turut diberikan kepada acara quadrant serta acara baharu beregu (double) di Sukan SEA nanti.
Mengimbas pencapaian sepanjang tahun 2026, Sumali menzahirkan rasa syukur atas kejayaan cemerlang negara menamatkan penantian 36 tahun di Sukan Asia serta meraih dua pingat emas pada Kejohanan Piala Dunia.
Beliau menegaskan satu-satunya rekod yang masih belum berjaya dipecahkan Malaysia adalah menjuarai acara berpasukan di Piala Raja Thai, dan PSM bertekad untuk cuba merobohkan tembok sejarah tersebut pada edisi Julai tahun hadapan.
Dalam perkembangan berasingan, PSM turut menzahirkan rasa simpati terhadap nasib malang yang menimpa atlet angkat berat negara pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Udin, yang terpaksa dipotong tangan akibat kemalangan baru-baru ini.
Sebagai tanda keprihatinan, Mesyuarat Agung Tahunan PSM sebulat suara bersetuju menyalurkan sumbangan berjumlah RM5,000 bagi membantu meringankan beban atlet berkenaan yang kini masih dirawat di hospital.
#SepakTakrawMalaysia #PSM #SukanSEA2027 #BeritaAAC #DemiMalaysia