KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hassan mendesak Perdana Menteri supaya segera tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang didakwa memuat naik sebahagian minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan kali ke-64 di laman Facebook.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Hasmuni menyifatkan pendedahan dokumen berkenaan sebagai satu tindakan yang amat janggal, berbahaya serta menuntut jawapan tuntas di peringkat tertinggi pentadbiran negara.
Menurutnya, Perdana Menteri wajib merungkai tiga persoalan utama kepada rakyat, bermula dengan pengesahan mengenai kesahihan dakwaan bahawa minit mesyuarat yang bertaraf rahsia itu telah pun dinyahklasifikasikan.
Beliau berkata, kerajaan perlu memperincikan tarikh sebenar dokumen itu dinyahklasifikasikan, pihak yang meluluskannya di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), serta sama ada langkah tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
Selain itu, Hasmuni turut mempersoalkan bagaimana dokumen rasmi kerajaan berkenaan boleh berada di tangan individu luar yang bukan merupakan anggota Lembaga Pengampunan mahupun ahli Jemaah Menteri.
Jelas beliau, kebocoran tersebut seolah-olah memberi gambaran bahawa pentadbiran kerajaan pada hari ini telah hilang kawalan terhadap disiplin serta tatakelola kerahsiaan negara.
Mengulas lanjut, beliau menggesa agar satu siasatan yang telus dan tanpa pilih kasih dijalankan berhubung penyebaran dokumen tersebut di bawah peruntukan Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Rahsia Rasmi 1972, serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan.
Siasatan itu, tegasnya, turut merangkumi penggunaan ungkapan “our King Kleptocrat” yang disifatkan sebagai jelik serta mencemar kemuliaan institusi diraja dan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Hasmuni menegaskan bahawa soal integriti pentadbiran dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan merupakan prinsip asas negara yang sama sekali tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak.
Beliau turut membidas sikap Perdana Menteri yang didakwa masih memilih untuk tidak memberikan penjelasan telus walaupun insiden berkenaan telah berlarutan hampir seminggu, yang menurutnya hanya menyerlahkan kelemahan serta kecuaian ketara dalam pentadbiran.
#BeritaAAC #LembagaPengampunan #UMNO #PolitikMalaysia #InstitusiDiraja