KUALA LUMPUR, 23 November 2026 – Rakyat Malaysia diseru untuk mula membiasakan diri menyemak resit pembelian dari sekarang sebagai persediaan awal sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau ‘GST 2.0’ benar-benar dilaksanakan semula pada masa hadapan.
Ketua UMNO Cawangan Wangsa Sari, Wangsa Maju, Mazlan Abd Latif berkata, tabiat terus membuang resit selepas membuat pembayaran perlu diubah agar masyarakat lebih peka terhadap kadar cukai semasa yang sedang dikenakan kepada mereka.
Menurut beliau, ramai pengguna mungkin tidak menyedari bahawa di bawah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini, kadar cukai sebanyak enam peratus tetap wujud pada resit perbelanjaan harian mereka.
Mengulas mengenai penolakan rakyat terhadap GST sebelum ini, Mazlan berpandangan bahawa sentimen kemarahan tersebut berpunca daripada persepsi dan cara penerangan peniaga setiap kali transaksi dilakukan.
”Kenapa kita dulu tak boleh terima GST? Sebab setiap kali kita beli barang dan bayar, peniaga akan beritahu bahawa harga itu ada caj GST enam peratus.
”Bila kita tengok resit hari-hari, hati pun mendidih dan macam-macam tohmahan kita lemparkan terhadap GST, sedangkan sistem percukaian ini sudah lama diguna pakai di lebih 100 buah negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus serta ura-ura yang semakin hangat diperkatakan berhubung kemungkinan kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan sistem percukaian tersebut.
Justeru, Mazlan menasihatkan orang ramai agar tidak melatah, sebaliknya mengambil pendekatan proaktif dengan meneliti butiran cukai pada setiap resit pembelian bermula hari ini.
”Kepada rakyat Malaysia, adakah anda sudah bersedia untuk menerima GST 2.0? Kalau rasa nak terima, daripada sekarang belajar tengok resit, jangan bayar lepas tu terus buang,” tegasnya.
Selain itu, beliau turut menggalakkan masyarakat untuk mencari maklumat yang tepat mengenai manfaat serta pulangan hasil negara yang bakal dinikmati rakyat sekiranya sistem percukaian itu diperkenalkan semula.
Tambahnya, orang ramai juga boleh merujuk semula penerangan terdahulu yang pernah dikongsikan oleh pemimpin berpengalaman seperti Datuk Seri Ahmad Maslan bagi memahami rasional di sebalik keberkesanan sistem GST berbanding cukai sedia ada.
#BeritaAAC #GSTMalaysia #CukaiRakyat #EkonomiMalaysia #IsuSemasa