BANGI, 24 November 2026 – Seramai 600 graduan Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Semenanjung diraikan dalam Majlis Graduasi Ke-12 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), hari ini, selepas berjaya memperoleh Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) dalam pelbagai bidang teknikal.
Majlis bersejarah yang buat julung kalinya menghimpunkan graduan dari seluruh zon di Semenanjung Malaysia secara serentak itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi CIDB Malaysia, YB Dato’ Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd. Wahab, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Sr Ahmad Farrin bin Mokhtar, barisan pengurusan tertinggi CIDB serta rakan strategik industri.
Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pembinaan kini membuktikan keupayaannya melahirkan tenaga kerja berpendapatan tinggi apabila sebahagian daripada lapan ikon TVET yang dinobatkan pada majlis itu berjaya meraih pendapatan antara RM8,000 hingga RM12,000 sebulan sebagai pengendali kren, malah ada yang sudah memiliki syarikat sendiri.

Beliau berkata, bagi memastikan lebih ramai graduan melangkah ke tahap lebih tinggi, pihak kementerian menyarankan agar modul keusahawanan atau ‘tekno-usahawan’ diperkasakan dalam kurikulum latihan supaya pelatih bukan sahaja makan gaji, tetapi mampu membuka perniagaan sendiri pada masa hadapan.
”Industri pembinaan merupakan pemacu utama ekonomi negara. Tanpa tenaga kerja mahir, pembangunan hanya tinggal perancangan, namun dengan adanya mereka, perancangan dapat diterjemahkan menjadi kemudahan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas majlis berkenaan.
Keberkesanan latihan yang disediakan terbukti apabila kajian pengesanan graduan bagi tahun 2025 merekodkan kadar kebolehpasaran tinggi iaitu 93 peratus bagi ABM Semenanjung dan 83 peratus bagi CIDB Technologies Semenanjung, didorong oleh permintaan tinggi daripada pusat-pusat data (data centers) dan syarikat gergasi industri seperti Daikin.
Secara keseluruhannya, dari tahun 2020 hingga 2025, kedua-dua institusi ini telah melahirkan kira-kira 40,000 tenaga kerja mahir, manakala seramai 270,405 pelatih telah mengikuti Program Latihan Kompetensi Kemahiran (LKK) CIDB Malaysia sejak 2012 hingga 2025.
Mengulas pencapaian di pentas antarabangsa, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan turut berbangga dengan kejayaan kontinjen negara yang berjaya melonjak 10 anak tangga ke kedudukan ke-22 dunia dalam WorldSkills Competition di Shanghai 2026 menerusi kutipan satu pingat gangsa dan 13 Pingat Kecemerlangan, selain berada dalam kelompok 10 terbaik dunia bagi 11 bidang kemahiran yang disertai.
Beliau menambah, Malaysia perlu mencontohi negara seperti China yang memiliki 34 juta pelajar TVET dan menjadi negara pencipta teknologi, seiring dengan peranan CIDB melalui Belanjawan MADANI 2027 untuk melatih 10,000 belia dalam bidang teknologi robotik dan digital.
Sementara itu, Pengerusi CIDB Malaysia, Dato’ Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd. Wahab berkata, kerjasama erat dengan 26 rakan strategik industri yang turut diiktiraf pada majlis itu memastikan silibus latihan sentiasa relevan dengan keperluan pasaran sebenar.
Beliau turut memaklumkan bahawa CIDB menggalakkan kontraktor tempatan berinovasi melalui program SFERA (Contractor Innovation), yang kini menyaksikan 10 kontraktor tempatan berjaya menghasilkan produk inovasi pembinaan seperti pengesan gegaran perancah (scaffolding creeper) dan sedang menjalani sesi pembentangan (pitching) bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) untuk dikomersialkan.
”Selain itu, inovasi bahan binaan seperti penggunaan konkrit berasaskan kenaf, campuran plastik terbuang oleh Petronas, serta getah cuplump dalam pembinaan jalan raya turut diteroka bagi mengukuhkan struktur binaan dan menjaga kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Majlis Graduasi Ke-12 ini sekali gus memperkukuh kedudukan ABM dan CIDB Technologies sebagai tunjang utama dalam melahirkan tenaga mahir dan inovator tempatan demi memacu daya saing industri pembinaan negara.

#TVETPembinaan #GajiLumayanTVET #CIDBMalaysia #BeritaAAC #KemahiranMasaDepan