KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan kini dikesan mengubah modus operandi mereka dengan memperdaya individu yang kurang berpengalaman dan naif untuk dijadikan ‘keldai akaun’ tanpa disedari mangsa, menurut Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim mendedahkan bahawa taktik terbaharu itu jauh berbeza berbanding trend sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan pemilik akaun menyewakan akaun bank mereka secara sukarela demi mendapatkan habuan kewangan.
Menurut beliau, kesedaran orang ramai yang semakin meningkat mengenai undang-undang berkaitan keldai akaun menyebabkan sindiket tidak lagi meminta akaun secara terus daripada pemilik syarikat sedia ada, sebaliknya menyasarkan golongan baharu atau newcomer untuk dipergunakan.
”Kebiasaannya, mereka yang sudah lama memiliki syarikat lebih matang dan tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan akaun bank kerana tahu ia akan disalahgunakan bagi tujuan penipuan,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Jelas beliau, mangsa pada masa kini langsung tidak memperoleh sebarang keuntungan mahupun manfaat daripada akaun tersebut, sebaliknya menjadi mangsa penipuan (scam) yang dipergunakan sepenuhnya oleh sindiket.
Sindiket terbabit lazimnya menggunakan pelbagai helah termasuk mengumpan mangsa dengan tawaran pekerjaan sebelum memperdaya mereka untuk mendaftarkan syarikat atau membuka akaun bank atas nama sendiri tanpa menyedari tujuan sebenar di sebaliknya.
”Jika sebelum ini ada elemen mangsa mendapat manfaat daripada sewaan akaun, keadaan sekarang berbeza sama sekali kerana mereka tidak dapat sesen pun dan hanya menjadi mangsa tanpa sedar,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya apabila turut menjadi sasaran cubaan penipuan oleh sindiket menerusi panggilan telefon baru-baru ini.
Katanya, selepas melayan perbualan tersebut buat seketika, pemanggil berkenaan terus menyekat nombor telefonnya sejurus beliau mempersoalkan sama ada panggilan itu merupakan modus operandi baharu sindiket.
”Mereka akan segera melarikan diri apabila menyedari sasaran mereka tahu mengenai taktik tersebut, namun jika berdepan individu yang naif dan mudah percaya, mangsa pasti akan terjerat,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan muda dan pencari kerja dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran mencurigakan yang memerlukan mereka membuka akaun bank atau mendaftarkan perniagaan bagi pihak ketiga.
#BeritaAAC #MHO #KeldaiAkaun #AwasScammer #JenayahSiber