KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mempersoalkan wujudnya perbezaan ketara atau sikap pilih kasih (double standard) dalam pengendalian siasatan membabitkan kes keldai akaun berbanding kes melibatkan mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ‘Ah Long’.
Setiausaha Agungnya, Dato’ Hishamuddin Hashim mendedahkan, berdasarkan aduan yang diterima pihaknya, kebanyakan laporan polis yang dibuat oleh mangsa Ah Long tidak dibuka kertas siasatan dan sering diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) atas alasan keselamatan.
Sebaliknya, menurut beliau, agensi penguatkuasaan dilihat begitu bersungguh-sungguh dan terlampau berminat membuka terlalu banyak kertas siasatan terhadap individu yang menjadi keldai akaun sehingga membebankan mereka dengan puluhan pertuduhan.
”Saya pun sebenarnya bingung dengan perbezaan ini. Satu pihak seolah-olah kurang diberi perhatian, manakala satu pihak lagi terlebih diberi perhatian sehingga sasaran utama bukannya dalang scammer, tetapi individu yang diperkudakan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dato’ Hishamuddin menegaskan, mangsa penipuan sebenarnya mahu dalang utama di sebalik sindiket penipuan tersebut diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan, bukannya golongan terdesak yang dieksploitasi oleh penjenayah.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan nasib golongan keldai akaun ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila suara mereka tidak didengari dan sering didesak untuk terus mengaku bersalah di mahkamah meskipun tidak berniat melakukan jenayah.
Beliau turut berkongsi kisah menyayat hati seorang individu yang terjerat menjadi mangsa keldai akaun semata-mata kerana terdesak mencari kerja sambilan demi membiayai kos pengajian anaknya di asrama.
Akibat daripada tindakan tersebut, individu berkenaan berdepan puluhan pendakwaan sehingga menyebabkan kehidupannya musnah sama sekali dan rumah tangganya berakhir dengan perceraian.
”Kita boleh bercakap mudah kerana perkara ini tidak berlaku kepada diri atau keluarga kita sendiri, tetapi apabila berdepan secara bersemuka dengan mereka, kita dapat melihat bagaimana seluruh kehidupan mereka hancur,” ujarnya.
Tambah beliau, meskipun MHO tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri cara kerja agensi siasatan mahupun pihak pendakwaan, pertubuhan itu tetap berpegang pada hak bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk membela golongan tertindas.
Dato’ Hishamuddin mengakui perjuangan membela nasib keldai akaun bukanlah satu tindakan yang popular dalam kalangan masyarakat, namun MHO tiada pilihan lain selain terus tampil bersuara atas dasar simpati dan kemanusiaan.
#BeritaAAC #MHOMalaysia #KeldaiAkaun #BanterasScammer #KeadilanUntukMangsa