KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mempersoalkan bebanan perundangan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa sindiket keldai akaun apabila mereka berdepan pertuduhan berasingan di mahkamah berbeza sehingga memaksa golongan itu mengaku bersalah akibat kekangan kewangan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dalam kes jenayah, pihak pendakwaan memikul tanggungjawab untuk membuktikan setiap elemen pertuduhan melampaui keraguan yang munasabah sebelum seseorang itu disabitkan kesalahan.
Menurut beliau, elemen paling sukar untuk dibuktikan adalah dakwaan serahan akses perbankan secara sah, terutamanya apabila tertuduh sebenarnya sedang berada dalam tahanan atau penjara ketika transaksi tersebut berlaku.
Selain itu, pihak pendakwaan juga perlu membuktikan wujudnya niat jahat serta keuntungan atau manfaat kewangan yang diperoleh tertuduh, sedangkan kebanyakan mangsa tidak menerima sebarang faedah mahupun mempunyai bukti serahan akaun.
Mengulas lanjut, Hishamuddin menegaskan bahawa dari sudut merit perundangan, mangsa mempunyai peluang cerah untuk menang sekiranya kes tersebut dibicarakan dan dilawan di mahkamah.
Bagaimanapun, masalah utama yang menghalang mangsa daripada membela diri adalah kos wang jaminan, perbelanjaan logistik perjalanan, serta kos melantik peguam bela bagi setiap pertuduhan yang difailkan.
Beliau memberi contoh situasi di mana seseorang mangsa berdepan sehingga sembilan pertuduhan berbeza, termasuk kes yang difailkan di lokasi jauh seperti Mahkamah Sandakan, Sabah.
”Jika penipu atau scammer sebenar yang didakwa, mereka tidak akan mengaku salah kerana mereka mempunyai wang yang banyak untuk membayar ikat jamin dan melantik peguam bagi melawan kes,” katanya.
Sebaliknya, mangsa keldai akaun yang tidak mempunyai simpanan kewangan akhirnya terdesak dan terpaksa mengaku bersalah walaupun tidak melakukan jenayah tersebut semata-mata kerana tiada pilihan lain.
Situasi ini mencetuskan persoalan besar mengenai konsep keadilan di negara ini, sama ada sistem perundangan hanya mampu membela golongan yang berkemampuan dari segi kewangan sahaja.
Sehubungan itu, MHO memohon pertimbangan pihak berkuasa agar menyatukan semua laporan polis yang berkaitan dengan individu yang sama di bawah satu kertas siasatan atau satu pertuduhan sahaja.
Jelas beliau, laporan-laporan polis lain yang melibatkan Seksyen 424 Kanun Keseksaan wajar dirujuk silang kepada laporan pertama agar tertuduh hanya perlu berdepan satu perbicaraan di mahkamah.
”Kalau satu kes sahaja, mangsa masih ada bajet dan mampu untuk lawan di mahkamah, tetapi kalau sudah sampai 20 kes berasingan, di mana mereka mahu mencari duit untuk membela diri?” soalnya.
#BeritaAAC #MHO #KeldaiAkaun #KeadilanUntukMangsa #ScammerMalaysia