Kuala Lumpur: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (secara kolektif “CIMB” atau “Bank”) telah mengumumkan komitmen berterusan dalam menyokong dan mendorong pemulihan dan pertumbuhan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”) melalui pembiayaan sebanyak RM30 bilion menjelang 2024.

Komitmen tersebut diumumkan pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara CIMB, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (“SJPP”) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (“CGC”). Inisiatif ini bertujuan untuk menyalurkan pembiayaan, serta skim jaminan yang akan memacu pertumbuhan PKS untuk memberi peluang pasca pandemik, seiring dengan momentum pemulihan ekonomi.

Komitmen RM30 bilion itu juga termasuk pembiayaan PKS yang akan dijamin oleh SJPP dan CGC, seperti: 
● Program Pembiayaan CIMB-CGC 
● Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF)
● Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS)

Menandatangani bagi pihak CIMB adalah Victor Lee Meng Teck, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan, CIMB Group, sementara Azlan Mohd Agel, Pengurus Besar Kanan, SJPP dan Leong Weng Choong, Ketua Pegawai Perniagaan, CGC yang mewakili organisasi masing-masing.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama tersebut disaksikan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan; Dato’ Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group; Dato’ Mohammed Hussein, Pengerusi CGC; dan Chen Yin Heng, Pegawai Utama, SJPP.  

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul berkata, “Pihak Kerajaan akan terus menyediakan peruntukan bagi skim jaminan kepada PMKS, bagi membantu PMKS untuk memperoleh akses kepada kemudahan pembiayaan. Sokongan dari Kerajaan ini dilaksanakan melalui kerjasama padu dari agensi seperti CGC dan SJPP, serta bank-bank tempatan. Ini telah membolehkan semua PMKS, termasuk mereka yang tidak mencukupi cagaran atau tiada rekod prestasi kewangan, untuk mendapat sokongan pembiayaan yang holistik dan pada kadar yang kompetitif. Usahasama ini telah membolehkan PMKS terus berdaya tahan untuk bangkit semula dan menyumbang kepada usaha pemulihan senegara, yang telah mencatat pertumbuhan KDNK 8.9% bagi Suku Kedua 2022. Usahasama memperkasakan PMKS ini akan diteruskan melalui Bajet 2023 bagi memastikan mereka terus berdaya tahan dan berkembang.”

Komitmen ini mengukuhkan lagi usaha berterusan CIMB sebagai rakan kongsi yang komited untuk terus menyokong PKS berkembang maju. Sebelum dilanda pandemik COVID-19, CIMB telah berjaya mencapai sasarannya untuk menyalur dana pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada PKS bagi tempoh antara 2019 hingga 2020. 

Dato’ Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group berkata, “Kami sentiasa meningkatkan sokongan untuk semua pelanggan kami termasuk PKS.

Pembiayaan PKS yang diperuntukkan sebanyak RM30 billion akan mengukuhkan lagi usaha kami untuk membantu kumpulan ekonomi penting ini bagi tempoh dua tahun akan datang. Kami akan terus memainkan peranan sebagai rakan kongsi kepada pelanggan PKS dan melakarkan fasa pertumbuhan seterusnya pasca pandemik.

Sebagai sebuah organisasi dan pengantara kewangan yang didorong oleh tujuan, kami dengan sukacitanya dapat bekerjasama dengan SJPP dan CGC dalam membantu memperkasakan aktiviti ekonomi dengan menawarkan satu set skim jaminan kepada perniagaan untuk terus kekal berinovasi dan berkembang dengan lebih pesat.

” Chen Yin Heng berkata, “SJPP terus menyokong misi kerajaan untuk menyemarakkan lagi pertumbuhan dan perkembangan PKS dengan membantu mereka mendapatkan akses kepada pembiayaan. Perjanjian bersama CIMB ini menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha kami untuk terus mengukuhkan lagi prestasi perniagaan-perniagaan ini yang merupakan tulang belakang ekonomi negara untuk kembali pulih dan terus berkembang maju. Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan CIMB dalam memastikan kemampanan jangka panjang perniagaan PKS.” 

Dato’ Mohammed Hussein berkata, “PKS perlu sentiasa berdaya maju dan terus berkembang untuk kekal relevan dan memainkan peranan pentingnya dalam pemulihan ekonomi negara. Dalam usaha mencapai matlamat ini, CGC, di samping kekal fokus akan objektif utama kami untuk menyokong PKS serta memacu agenda rangkuman kewangan Malaysia, akan terus komited dalam mempertingkatkan kesediaan organisasi kami untuk memenuhi peranan tersebut. Dengan itu, kami bangga dapat bekerjasama dengan CIMB melalui Program Pembiayaan CIMBCGC yang membolehkan PKS merealisasikan matlamat perniagaan masing-masing untuk merentasi pelbagai sektor perniagaan dan perdagangan melalui program jaminan kami.”

Program Pembiayaan CIMB-CGC  Program ini boleh didapati untuk pembelian dan pembiayaan semula hartanah di bawah Perbankan SME CIMB, di mana pelanggan boleh menjana semula aset mereka untuk modal kerja sehingga 150% nilai hartanah.

PKS yang memerlukan pembiayaan tanpa cagaran boleh memilih modal kerja sehingga RM1.5 juta melalui kemudahan Pembiayaan Berjangka-i dan Talian Tunai-i CIMB berdasarkan keperluan perniagaan mereka.

Ini menyokong pemulihan PKS dengan lebih fleksibiliti dalam usaha untuk pengembangan perniagaan mereka dalam tempoh fasa pemulihan pasca pandemik. 

Kedua-dua produk pembiayaan ini disokong oleh CGC dengan jaminan 70% di bawah Mekanisme Jaminan Portfolio. Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF)  Produk ini adalah ditawarkan sebahagian daripada skim pembiayaan LCTF yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada Januari 2022, di mana CIMB telah memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM100 juta. Melalui LCTF CIMB, perusahaan akan diberikan pilihan untuk menggunakan amalan karbon rendah dan kelestarian demi memastikan daya tahan perniagaan. Mereka juga akan mendapat manfaat daripada pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM10 juta dengan tempoh bayaran balik yang berpatutan sehingga 10 tahun pada kadar faedah rendah sehingga 5% setahun. Pembiayaan ini boleh digunakan untuk pemasangan sistem tenaga solar, penggunaan bahan kitar semula atau terbiodegradasi serta kecekapan proses dalam usaha untuk mengurangkan sisa, serta mendapatkan pensijilan kelestarian. LCTF disokong oleh CGC dan SJPP dengan perlindungan jaminan antara 30% hingga 80%. Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS): Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH adalah satu Skim Jaminan Kerajaan yang diuruskan oleh SJPP, di mana ia menyediakan perlindungan jaminan sehingga 80% untuk kemudahan pembiayaan perbankan atau modal kerja tambahan sehingga RM20 juta dengan tempoh pinjaman maksimum selama 10 tahun. Sementara itu, untuk penstrukturan atau penjadualan semula, tempoh jaminan yang diberikan adalah selama tiga tahun termasuk moratorium selama 12 bulan. Di samping bantuan kewangan, CIMB juga telah komitedkan sumber dan kepakarannya melalui inisiatif pembinaan kapasiti bagi PKS. Ini termasuk program peningkatan pengetahuan PKS yang memberikan akses kepada perkhidmatan rakan kongsi, termasuk e-dagang dan pendigitalan, serta CIMB MicroBiz Ready yang merupakan satu program latihan dan peningkatan kemahiran khusus untuk usahawan B40. Selain itu, CIMB juga memperkasakan perusahaan untuk memulakan perjalanan kelestarian mereka melalui program CIMB GreenBizReady dengan menyediakan penyelesaian kewangan dan pelbagai insentif seperti faedah pembiayaan berkaitan kelestarian, akses kepada penyedia perkhidmatan kelestarian, latihan dan pembinaan kapasiti, perkhidmatan pensijilan dan nasihat serta pemadanan perniagaan dengan sokongan daripada peneraju industri dan agensi kerajaan lain.  

Leave a Reply