KUALA LUMPUR, 27 September – Malaysia bakal tuan rumah World Women Leadership Summit 2023 (WWLS 2023) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Convention Centre) pada 2 hingga 3 Mac 2023.
Penganjuran WWLS 2023 yang bertemakan ‘New Norms, Fresh Hopes, Big Dreams’ akan membincangkan kepimpinan wanita di peringkat global dalam segenap aspek termasuk kesihatan, sains dan teknologi, perniagaan, kewangan, pendidikan, tadbir urus kerajaan dan isu-isu alam sekitar.
WWLS 2023 bakal dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan menampilkan lebih 20 ikon bertaraf dunia termasuk pemimpin-pemimpin sektor awam, tokoh-tokoh korporat serta ketua-ketua negara dalam kalangan wanita.
Lebih 2000 delegasi dari 30 buah negara termasuk pemimpin wanita tersohor dunia dijangka akan menyertai WWLS 2023.
YB Datuk Seri Rina dalam ucapannya berkata “ Tema WWLS 2023 adalah bertepatan dengan fokus negara selari dengan hasrat Keluarga Malaysia dalam menunjukkan semangat serta agenda untuk wanita bangkit selepas pandemik COVID-19 khususnya memartabatkan peranan wanita dalam menerajui kepimpinan keluarga dan juga dalam komuniti”.
Beliau menyatakan, “WWLS 2023 akan menjadi sebuah pentas global untuk berbincang secara terbuka mengenai kesediaan wanita dalam menghadapi cabaran-cabaran khasnya dalam dunia baharu pasca-pandemik dan sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk memperkasakan wanita serta meningkatkan kesaksamaan gender di Malaysia. WWLS juga akan menghasilkan resolusi yang dijadualkan diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri bagi mengetengahkan agenda pemerkasaan kepimpinan wanita hingga ke peringkat global”.
Pada masa yang sama, KPWKM dan Yayasan Kepimpinan Wanita (Women Leadership Foundation) selaku penganjur bersama juga mengalu-alukan kolaborasi dan sumbangan daripada sektor korporat, kerajaan dan swasta bagi menjayakan WWLS 2023.
Maklumat lanjut berkenaan program ini boleh didapati menerusi laman web www.womenleadershipfoundation.com/wwls/2023.
Majlis PraPelancaran ini turut dihadiri oleh YBrs. Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Ketua Setiausaha Strategik KPWKM, YBhg Datuk Dr. Hafsah Hashim, Pengerusi, Women Leadership Foundation dan YBrs. Dr. Wan Nur Ibtisam binti Wan Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita.