VIENNA, 28 September 2022 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba telah menghadiri mesyuarat dua hala bersama Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Tuan Yang Terutama, Mr. Rafael Mariano Grossi pada 27 September 2022. 

Pada mesyuarat tersebut, Malaysia menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merakamkan penghargaan kepada IAEA kerana telah memainkan peranan yang efektif bagi menggalakkan penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan terjamin. 

Malaysia juga mengiktiraf pelbagai inisiatif dan usaha yang telah dilaksanakan oleh IAEA dalam menyelesaikan isu global seperti penggunaan teknologi nuklear bagi mengawal pencemaran plastik, mengadakan Projek Tindakan Bersepadu Penyakit Zoonotik dan inisiatif Rays of Hope untuk rawatan penyakit kanser. Sehubungan dengan itu, Malaysia bersedia dan komited untuk memberikan sokongan serta kerjasama kepada IAEA.  

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, “Malaysia berbangga atas kolaborasi bersama IAEA di bawah Program Kerjasama Teknikal dan berterima kasih atas bantuan dalam membangunkan Rangka Kerja Program Negara 2022 – 2027 yang telah dipersetujui secara bersama.” 

Dalam pertemuan ini juga, beliau menekankan bahawa Kerajaan Malaysia menyambut baik pembangunan lubang gerek pertama di dunia bagi pelupusan sumber radioaktif terkedap terpakai. Ucapan penghargaan turut disampaikan kepada IAEA atas bantuan dan kerjasama melalui latihan dan pembinaan kapasiti serta pelaksanaan projek, penilaian aspek keselamatan dan pembangunan garis panduan perundangan. 

“Malaysia sedar akan kepentingan elemen sekuriti nuklear dalam mencegah penggunaan bahan nuklear dan teknologi nuklear yang tidak dibenarkan. Sebagai pusat hab serantau bagi penyediaan peralatan pengesanan sekuriti nuklear, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mengukuhkan sekuriti nuklear di rantau ini,” kata beliau.

Agensi Nuklear Malaysia yang merupakan agensi di bawah MOSTI sentiasa bersedia untuk menawarkan bantuan dalam pembangunan kapasiti sumber manusia kepada negara anggota lain.  

Malaysia akan meneruskan sokongan kepada IAEA sebagai pihak berkuasa teknikal tunggal yang kompeten bagi mengesahkan kewajipan kawal gunaan dalam kalangan negara anggota. Dalam hal ini, Malaysia komited untuk melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya di bawah Perjanjian Kawalseliaan NPT dengan IAEA, selain mengalu-alukan pemeriksaan kawal gunaan di kemudahan reaktor penyelidikan negara – PUSPATI TRIGA MARK II.” 

Terdahulu, sebelum pertemuan dengan Ketua Pengarah IAEA, Dato’ Sri Dr. Adham dan delegasi Malaysia telah mengadakan lawatan ke Makmal Aplikasi Nuklear IAEA di Seibersdorf.  

Makmal ini membangunkan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan, khususnya untuk sektor pertanian dan makanan, air dan alam sekitar, keselamatan sinaran dan kawalan penyakit bawaan vektor yang boleh digunakan untuk menangani cabaran sosio-ekonomi negara serta perubahan iklim. 

Leave a Reply