PUTRAJAYA, 8 Oktober 2022 – Bajet 2023 adalah manifestasi jelas Kerajaan untuk memastikan momentum positif pemulihan pada tahun 2022 dapat diperkukuhkan pada tahun 2023. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berpendapat Bajet 2023 yang bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’ yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz pada hari ini adalah cerminan keprihatinan Kerajaan secara keseluruhannya ke arah kesejahteraan Keluarga Malaysia.
MOSTI menyambut baik peruntukan RM1.062 bilion bagi tahun 2023 melibatkan RM668 juta peruntukan mengurus dan RM393 juta bagi peruntukan pembangunan. Peruntukan ini adalah peningkatan sebanyak 17% berbanding tahun 2022 dan ini adalah mesej jelas bahawa peranan STI akan terus diperkasa ke arah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, “Dalam usaha memperkasakan peranan sains, teknologi dan inovasi (STI) untuk meningkatkan daya saing dan ekonomi negara, MOSTI juga komited untuk mempergiatkan usaha melaksanakan inisiatif-inisiatif yang telah dirancang dengan semangat ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’. Ini bermakna, usaha MOSTI tidak terhad kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) semata-mata, tetapi termasuk juga pembudayaan STI di peringkat akar umbi”.
Tambahnya, “Bajet 2023 ini adalah bajet yang responsif. Bajet ini memastikan semua rakyat Malaysia mendapat impak dan manfaat yang lebih besar khususnya dalam penciptaan peluang pekerjaan sebagai contoh menerusi pemerkasaan syarikat-syarikat pemula tempatan. Jumlah peruntukan yang lebih besar untuk Cradle adalah antara bukti keseriusan kerajaan untuk memperkukuhkan ekosistem start-up negara”.
MOSTI komited dalam memastikan inisiatif yang telah dirancang agar negara dapat mencapai kedudukan ekonomi yang kukuh serta manfaat yang dihasratkan terus sampai dan dapat dirasai oleh seluruh Keluarga Malaysia antara lain melalui inisiatif-inisiatif berikut:
i. Pengkomersialan STI.
Selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan pengkomersialan hasil R&D tempatan, MOSTI diperuntukkan sebanyak RM176 juta bagi tujuan ini. Usaha ini akan dapat memastikan hasrat negara untuk menjadi negara berteknologi tinggi tercapai menjelang tahun 2030.
ii. Penyelidikan STI.
Kerajaan akan terus menyokong aktiviti penyelidikan STI negara dan memperuntukkan RM107 juta kepada MOSTI. Peruntukan ini adalah termasuk untuk meneruskan penyelidikan dan pembangunan vaksin negara.
iii. Program Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).
Kerajaan menyediakan RM3 juta kepada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk melaksanakan Program Malaysia Inovasi Sosial (MyIS) bagi menerapkan budaya inovasi dalam setiap lapisan masyarakat.
iv. Program Pertumbuhan Ekosistem Startup
Bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekosistem startup negara, Kerajaan menyediakan RM50 juta untuk menyokong syarikat startup yang berpotensi. Cradle Fund – sebuah agensi di bawah MOSTI – akan memberi sokongan yang merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan bakat, inovasi, dasar & peraturan dan persekitaran pasaran kepada syarikat startup.
v. Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan dalam Perolehan Kerajaan (MySTI).
Mulai tahun 2023, Kerajaan akan melaksanakan Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan dalam Perolehan Kerajaan (MySTI) dengan peruntukan sebanyak RM18 juta. Program ini bertujuan meningkatkan tahap pengkomersialan dan mengiktiraf hasil R&D tempatan yang akan diberi keutamaan dalam Perolehan Kerajaan. MOSTI yakin program ini akan dapat meningkatkan akses pasaran termasuk ke peringkat antarabangsa serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu berasaskan sains, teknologi dan inovasi (STI) pada tahun 2023.
vi. Program Pembudayaan STI.
Program Pembudayaan STI akan terus diperkasakan melalui Techlympics dengan peruntukan berjumlah RM7 juta yang akan melahirkan golongan kreatif dan pemikir dalam menjana idea dan solusi bagi cabaran dan permasalahan masa kini. Ini selaras dengan Dasar Sains Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2030 untuk beralih daripada negara pengguna kepada pembangun teknologi.
vii. Program Memartabatkan Sektor Bioteknologi Negara.
MOSTI menyambut baik pelanjutan insentif cukai bagi syarikat berstatus BioNexus untuk permohonan yang diterima sehingga hujung 2024. Di samping itu, insentif ini akan ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun dinaikkan daripada 70 peratus kepada 100 peratus.
viii. Dana Modal Teroka
Kerajaan menyediakan Dana Modal Teroka bagi membiayai melalui suntikan ekuiti dalam syarikat berteknologi tinggi sektor E&E dan tenaga boleh diperbaharui dengan ketersediaan dana sebanyak RM10 juta.