KUALA SELANGOR, 20 OKTOBER 2022 – Seramai 32 usahawan dan koperasi telah menerima bantuan pembiayaan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM486 juta daripada agensi-agensi di bawah KUSKOP iaitu TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), SME Corp. Malaysia, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Bank Rakyat dan UDA Holdings Berhad.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah menyampaikan bantuan pembiayaan tersebut setelah merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) Negeri Selangor bertempat di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor yang dihadiri oleh lebih 10,000 jemputan dari kalangan usahawan, anggota koperasi, penjaja dan peniaga kecil, anggota Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Negeri Selangor.
Karnival anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan Kementerian Kewangan (MoF) ini dilaksanakan bertujuan untuk menyampaikan maklumat berhubung perkhidmatan keusahawanan melalui pameran agensi-agensi Kerajaan kepada usahawan dan komuniti setempat.
Karnival turut dimeriahkan dengan pengisian reruai jualan usahawan dan Food Truck yang menjual pelbagai makanan, minuman dan produk Industri Kecil Sederhana (IKS).
Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) turut diadakan dengan potongan harga sebanyak 20% ke atas pelbagai barangan keperluan asas dan produk jenama koperasi (COOP).
Pelaksanaan KUKKM Negeri Selangor diharap dapat merancakkan semula aktiviti perniagaan usahawan dan koperasi seterusnya meningkatkan daya saing usahawan tempatan selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia.