BEAUFORT, 28 Okt. — Malaysia perlu meningkatkan keupayaan pertahanan dengan pemodenan aset ketenteraan sebagai langkah memperkukuhkan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di perairan Laut China Selatan.
ADUN Lumadan, Ruslan Muharram berkata, aset kententeraan sedia ada sudah terlalu lama dan tidak mampu memenuhi keupayaan bagi menghadapi ancaman ketenteraan moden.
Katanya, siri pencerobohan tentera China di perairan Laut China Selatan berdekatan Sabah dan Sarawak, menjadi isyarat Malaysia perlu meningkatkan keupayaan aset ketenteraan dalam tempoh segera.
“Pelbagai ancaman terkini berlaku mutakhir ini sebagaimana banyak dilaporkan di media tempatan, antaranya pencerobohan berterusan China di Laut China Selatan dan penemuan serpihan roket di Sarawak.
Juga risiko ancaman berterusan ekoran pencerobohan ruang udara Malaysia Timur oleh jet pejuang China.
Justeru, tumpuan dan bajet khusus wajar diperuntukkan bagi meningkatkan keupayaan aset ketenteraan kita untuk memastikan kepentingan dan kedaulatan negara di Laut China Selatan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Tambah Ruslan, Malaysia wajar mengambil tindakan sama seperti negara-negara jiran yang telah menyediakan peruntukan besar bagi meningkatkan keselamatan menerusi pelan modernisasi ketenteraan.
Inisiatif negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam itu sebagai langkah memperkasa keselamatan di perairan masing-masing susulan ancaman sama diterima di Laut China Selatan.
“Indonesia sebagaimana dilaporkan media asing telah berbelanja sehingga USD125 bilion dalam pelan modernisasi ketenteraan, manakala Thailand di sebalik kemelut pandemik Covid-19 telah membelanjakan sehingga USD7 bilion setahun secara purata bagi lima tahun ke belakang bagi perolehan ketenteraan.
Vietnam yang sebelumnya jauh ketinggalan di belakang Malaysia kini mampu berbelanja sehingga USD5.5 bilion bagi peruntukan keselamatan negara,” katanya.
Ruslan yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menambah, Malaysia harus mengambil langkah persediaan lebih rapi ekoran krisis geopolitik kian memuncak ketika ini yang telah dibuktikan melalui konflik Russia-Ukraine serta yang bakal berlaku di antara China dan Taiwan.
Jelas beliau, ia penting bagi memastikan Malaysia tidak dianggap lemah pada persepsi negara lain sekaligus mampu bertindak menjaga hak dan kedaulatan negara di Laut China Selatan.
“Ini adalah pendapat peribadi saya kerana kepentingan serta keselamatan rakyat dan negara ini keutamaan saya dan sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan aspek ini terpelihara,” tegasnya.