PUTRAJAYA, 7 April 2022 – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama Perbadanan Putrajaya (PP) hari ini menganjurkan Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi Tahun 2022/1443H dengan semangat kebersamaan dan berganding bahu Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Sri Dr. Shahidan bin Kassim yang menyantuni golongan asnaf di Putrajaya dan seterusnya menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah di Putrajaya.

Seramai 200 orang penerima bantuan di WP Putrajaya yang terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas ibu tunggal, OKU dan mereka yang kurang berkemampuan menerima sumbangan wang tunai RM200.00 setiap seorang melalui peruntukan KWP dan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Para asnaf juga turut menerima sumbangan barangan keperluan seperti periuk nasi, beras dan kurma dengan peruntukan sebanyak RM23,000.00.

Terdahulu, Pihak KWP juga menyumbangkan wang tunai berjumlah RM519.500.00 kepada semua 824 masjid, surau jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan bagi mengimarahkan lagi suasana Ramadan pada tahun ini.

Penganjuran Program Nur Ramadan ini dilaksanakan secara kerjasama di antara KWP, PPj, MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Wilayah Persekutuan dan McDonalds Malaysia. McDonald’s Malaysia turut menyediakan makanan moreh kepada kira kira 8.500 orang sepanjang penganjuran program kali ini. Secara keseluruhan, seramai 2.500 asnaf menerima sumbangan bantuan wang tunai yang melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Diharapkan majlis ini dapat mengeratkan ukhuwah, perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu di Wilayah Persekutuan Ini seterusnya dapat memupuk nilai kasih sayang dan kesyukuran dalam kalangan komuniti Wilayah Persekutuan serta memperkukuh interaksi antara pihak Kerajaan dengan komuniti dalam menzahirkan impian Aspirasi Keluarga Malaysia.

Leave a Reply