editor@aatvnews.com

PUCHONG – Dalam usaha mengumpul dana bagi membantu penghuninya, Rumah Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur ( Rumah Ahsana) menganjurkan program Pemeriksaan Kesihatan Percuma.

Program yang diadakan pada Sabtu lalu itu, turut mendapat kerjasama daripada sukarelawan Viimen TV.

Pelbagai aktiviti pemeriksaan kesihatan diadakan sepanjang satu hari program berlangsung yang turut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Kok dalam ucapannya berkata, beliau menyokong penuh usaha sukarelawan berkenaan dalam membantu rumah Ahsana untuk mengumpul dana.

“Saya hargai dan sanjung tinggi usaha dan perkhidmatan yang diberikan oleh sukarelawan dalam membantu rumah Ahsana.

“Satu usaha yang murni namun tidak ramai yang sudi melakukannya. Namun begitu, saya berharap dengan adanya program-program seperti ini akan lebih membuka mata orang ramai untuk hadir memberikan sokongan dan sumbangan,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Kok turut menyumbangkan sebanyak RM5,000 bagi membina tandas serta kegunaan lain untuk penghuni di rumah berkenaan.

Selain Pemeriksaan Kesihatan Percuma, terdapat juga booth yang membuat jualan amal untuk membantu Insan Istimewa dirumah berkenaan dan komuniti juga berpeluang untuk menyantuni mereka.

Tujuan program ini diadakan bagi memberi peluang dan kesedaran kepada komuniti terutama golongan belia akan kepentingan kesihatan diri.

Malah, ini adalah titik permulaan kepada komuniti untuk lebih mendekati dan membantu golongan Insan Istimewa yang memerlukan.

Rumah Ahsana adalah pusat kebajikan yang ditubuhkan dengan harapan dapat membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melengkapkan diri dengan pengetahuan yang sesuai.

Sasaran OKU yang dibantu oleh pertubahan kebajikan ini adalah golongan OKU yang ingin memulakan kehidupan secara berdikari dengan memberi tumpuan kepada aspek ‘independent Living’ agar OKU lebih bersedia untuk memulakan kehidupan berdikari.

By Cynthia

Leave a Reply