KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersama dengan rakan-rakan strategiknya seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah melakukan satu Operasi Bersepadu pada 17 Julai 2022 lepas bagi membanteras aktiviti-aktiviti haram di kawasan Kuala Lumpur.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Sri Jalaluddin Alias, “Operasi ini melibatkan 16 orang pegawai dan 61 anggota berlainan pangkat bagi empat (4) agensi terlibat.

“Pasukan operasi yang menjalankan tugas itu telah mengambil tindakan terhadap empat (4) premis yang telah melanggar Akta Hiburan (WPKL) 1992 dan Akta Kerajaan Tempatan,” kata Jalaluddin dalam satu kenyataan Media yang dikeluarkan hari ini.

Terdapat kesalahan yang dilakukan operator premis berkenaan iaitu mereka telah membuka dan mengadakan hiburan deejay (DJ), membenarkan individu di bawah umur memasuki premis hiburan, membuka dan mengadakan hiburan muzik (live music) serta menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

Antara beberapa peralatan yang telah disita pihak DBKL, iaitu satu (1) unit DJ Spinner, tiga (3) unit speaker, satu (1) set drum, satu (1) unit mic stand, satu (1) unit mikrofon, satu (1) unit monitor, satu (1) unit komputer riba, satu (1) unit mixer, satu (1) unit CPU, satu (1) unit amplifier dan satu (1) set CCTV.

Sementara itu, Pihak JAWI yang turut menjalankan operasi bersepadu ini juga telah menangkap dan menyiasat 15 orang (8 wanita dan 7 lelaki) untuk dikenakan tindakan selanjutnya.

“Operasi ini turut melakukan penutupan terhadap tiga (3) premis iaitu di Taman Seri Bahtera, Cheras; Desa Sri Hartamas dan Jalan 28/70A, Kuala Lumpur,” Ujar Jalaluddin.

Justeru, Operasi penguatkuasaan secara bersepadu ini akan terus dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak DBKL dan agensi-agensi penguatkuasa bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang telah ditetapkan bagi memastikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini menjadi bandar raya yang selamat.

Leave a Reply