KUALA LUMPUR – Persembahan seni Main Teri dari negeri Kelantan jarang diketengahkan dalam masyarakat negara ini, tetapi sebenarnya sudah menempa nama di persada dunia.
Pertubuhan melestari kebudayaan dan kesenian Melayu, PUSAKA sudah pun membawa Persatuan Main Teri Pak Mat Jedok Kelantan ke Festival de I’Imaginaire Theatre de I’Alliance Francaise, di Perancis bagi mempersembahkan warisan Main Teri Malaysia, pada 7 Jun lalu.
Istimewanya Main Teri, ia dianggap sangat unik kerana berkonsepkan seni perubatan Melayu dan dipersembah bersama alat muzik dan tarian tradisional, di bawah bumbung kain warna kuning diraja, di hadapan khalayak.
Menurut lisan orang lama, Main Teri dipercayai mula muncul di antara wilayah Kelantan-Pattani, namun tidak dapat dipastikan sejarah pentarikhannya.
Asalnya ia adalah Main Puteri, seni perdukunan dari istana dan di bawah naungan raja sebelum dikembangkan dalam kalangan rakyat yang kemudian dipanggil Main Teri.
Main Teri juga dikatakan adalah seni teras atau ‘ibu’ kepada persembahan Kelantan lain seperti ulek mayang, dikir barat, Menora, Mak Yong, kuda kepang kerana menggunakan konsep hampir sama.
Ia diwarisi turun-temurun oleh orang perempuan yang berambut panjang, yang berperanan sebagai dukun atau tok batin.
Sama seperti konsep perbidanan, peranan dukun dalam seni Main Teri ini juga memenuhi kecekapan dan kelayakan dalam bidang perubatan.
Teri dalam bahasa mudah orang masa kini, adalah dialek Kelantan iaitu potongan kata nama kerja dalam bahasa Melayu, iaitu pateri bermaksud pembaikan.
Secara analoginya, ia konsep pembaikan secara penyembuhan diri selepas dukun ‘mengesan’ penyakit dalam tubuh pesakit atau zaman ini merujuk doktor bedah pesakit.
Bagi menghidupkan seni Main Teri, ia memerlukan dua individu iaitu Tok Teri (medium perantara dengan pesakit) dan Tok Minduk (berinteraksi dan mengesan penyakit berdasarkan bicara Tok Teri).
Tok Teri memakai kain pelepas yang diikat di atas dada dan di pinggang, sebagai simbolik kesucian dan perlindungan badan.
Persembahan diiringi nyanyian, alunan lagu menggunakan alat muzik tradisional yang dimainkan oleh ‘awak-awak’.
Terdapat gantungan kain kuning emas dipanggil kain lok langit di bahagian atas tapak persembahan dan set hidangan khas di tapak sama.
Tok Teri memulakan upacara ‘baca kenduri’, bercampur ayat serapah dan mantera diikuti ‘buka panggung/bangsal’.
Kemudian bermulanya pesakit akan diseru dan dibangkitkan sukma ke dalam jasad Tok Teri sebagai medium perantara dengan pesakit.
Di sinilah Tok Teri bersoal jawab dengan Tok Minduk yang mana penyakit pesakit akan diketahui dan berlaku gerak sukma Tok Teri.
Ketika ini, khalayak dapat menyaksikan Tok Teri berubah-ubah watak, sama ada kepada mek buje jangok (gadis berhias), atau orang tua atau lain-lain yang adakalanya mencuit hati sehingga mencetus hilai tawa.
Persembahan ini diakhiri tarian tradisional oleh Tok Teri berhibur bersama khalayak yang hadir menonton.
Menurut pewaris ketujuh Main Teri di Kampung Gual Jedok, Che Mohd Zailani atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Jedok, 57, mendedahkan kebanyakan rakyat negeri itu masih tidak tahu bahawa Main Teri adalah teras persembahan kepada wayang kulit, tarian Mak Yong, ulek Mayang, atau dikir barat.
Anak jati Tanah Merah yang terlibat dalam bidang itu selama lebih 35 tahun, menjelaskan Tok Teri dalam seni Main Teri asalnya lebih baik dimainkan oleh perempuan dan berambut panjang.
Pak Mat Jedok ketika ditemui AATV News berkata beliau bagaimanapun perlu mewarisi seni Main Teri kerana khuatir ia akan pupus, dan kini mempunyai 15 penyambung warisan termasuk anak cucunya.
Sementara itu, pengasas PUSAKA, Eddin Khoo berkata, Main Teri hari ini masih mendapat perhatian oleh seluruh masyarakat di kampung berbanding jumlah hadirin menyaksikan persembahan semata-mata.
Anak sulung mendiang Tan Sri Khoo Kay Kim itu berkata, rakyat Malaysia perlu memahami pelbagai dimensi sejarah, budaya dan agama negara khususnya di Kelantan seperti Main Teri kerana ia tradisi nenek moyang di sini.
“Kalau kita nak tahu (lanjut), harus rapat dengan akar umbi yang lebih tahu, dekati mereka.
“Budaya Melayu sangat mendalam, bila kita hakimi sesuatu, ia akan jadi (ilmu) cetek. Lihat apabila yang datang tengok persembahan hari ini, mereka bukan saja minat tetapi nak kenal diri, jadi mereka lihat dari sudut meluas. Ini bukan program syok sendiri dan bukan hantu jembalang punya cerita,” katanya ketika ditemui pada program Panggung PUSAKA, di Godown, Jalan Ampang, pada 7 Oktober lalu.
Main Teri pernah mendapat perhatian seorang penuntut Universiti Malaya (UM), Wan Anuar Ayob pada 1994 dalam kajian tesisnya bertajuk Kelupaan di dalam seni persembahan Asia Tenggara: Sangyang Dedari di Bali dan Main Puteri di Kelantan.
Dalam kajiannya berdasarkan kepercayaan masyarakat Asia Tenggara, seperti Sangyang Dedari, Main Teri juga dikatakan berlaku perhubungan manusia dengan alam ghaib yang dikaitkan dengan kelupaan dalam persembahan.
Jelasnya, penari dalam Main Teri, alami ‘kelupaan’ namun tidak melibatkan mabuk akibat dadah atau arak.
Kesimpulannya, kaedah Main Teri adalah seni perubatan tradisional turun-temurun, tidak menggunakan unsur khurafat melainkan ikhtiar untuk mengesan penyakit pesakit berdasarkan keupayaan Tok Teri sebagai medium perantara meraga sukma, dan penyembuhan berlaku adalah atas izin Tuhan Yang Esa.