KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal dari seberang, Bunga Citra Lestari (BCL), mengubat rindu peminat Malaysia apabila muncul kembali di pentas konsert menerusi persembahan istimewa bertajuk “BCL Eternal Love – Timeless Romance”, yang berlangsung dengan penuh emosional di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Lebih 2,000 penonton membanjiri dewan eksklusif itu bagi menyaksikan sendiri perjalanan cinta, kehilangan dan harapan yang diterjemahkan BCL melalui suara dan ekspresi yang menggetarkan jiwa.
Konsert intim ini menjadi bukti bahawa BCL bukan sekadar seorang penyanyi, malah seorang pencerita yang berjaya menyentuh hati khalayak dengan kisah hidupnya.

Menyusuri kenangan bersama arwah suaminya, pelakon Malaysia Ashraf Sinclair, penyanyi berusia 42 tahun itu mengajak peminat menyelami momen-momen peribadi yang pernah merubah hidupnya.
Ketika menyampaikan lagu hit “Wanita Terbahagia”, BCL mendedikasikannya secara langsung kepada Ashraf.
“Lagu ini untuk Ashraf. Kehadirannya bersama anak kami, Noah, menjadikan saya wanita paling bahagia. Tapi hidup ini tak selalunya seperti yang dirancang,” katanya dengan suara bergetar.
Kenangan 12 tahun perkahwinan mereka juga diabadikan dalam lagu “12 Tahun Terindah”, sebuah karya penuh makna yang mengingatkan pentingnya menghargai insan tersayang selagi mereka masih ada.

Namun, konsert itu tidak hanya berputar pada kisah duka. Ia turut menjadi platform BCL untuk berkongsi sinar baharu dalam hidupnya.
Dengan penuh syukur, beliau menceritakan tentang perkahwinannya bersama Tiko Aryawardhana yang berlangsung di Bali pada Disember 2023.
Apa yang lebih menyentuh hati ialah penerimaan penuh kasih sayang daripada keluarga Ashraf terhadap suami barunya itu, menunjukkan kekuatan hubungan kekeluargaan yang luar biasa.
“Apa yang saya lalui ini bukan untuk membuat anda menangis, tetapi untuk menunjukkan bahawa luka boleh sembuh dan bahagia boleh datang semula,” kata BCL yang disambut dengan tepukan dan sorakan peminat.

Antara lagu-lagu lain yang dipersembahkan termasuk “Ingkar”, “Kerana Ku Cinta Kau”, “Cinta Sejati”, “Memulai Kembali” dan “Selalu Ada di Nadimu”, semuanya dibawa dengan penuh penghayatan dan emosi yang menusuk kalbu.
Keindahan malam itu turut diserikan dengan kehadiran artis jemputan hebat seperti Jaclyn Victor, Yuna, Fajar Noor serta pemain biola terkenal, Dennis Lau.
Gabungan bakat ini menjadikan konsert BCL Eternal Love satu pengalaman seni yang sukar dilupakan.
